BERITA SEMASA

King Sing balas kritikan Motac tidak bantu pelancongan Sabah

KUALA LUMPUR – Kecewa dengan kritikan sesetengah pihak termasuk yang menuduh Kementerian Pelancongan (Motac) tidak banyak membantu sektor pelancongan Sabah, Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing tampil memberi amaran.

Dalam kenyataan di Facebook beliau, King Sing memberi amaran supaya pihak yang tidak berpuas hati dengan usaha yang telah dilaksanakan berhubung sendiri dengan beliau atau wakil kementeriannya secara terus.

Lebih mengecewakan katanya, kritikan dah tohmahan tidak berasas telah dilemparkan kepada kakitangan kementerian yang telah berusaha gigih sejak beliau menerajui kementerian itu.

Tiong berkata, sejak memegang jawatan, beliau mempunyai sepasukan rakan sekerja yang berdedikasi yang bekerja tanpa jemu untuk mempromosikan pelancongan Malaysia, termasuk meningkatkan pelancongan dan pembangunan ekonomi Sabah.

“Walaupun saya sedia untuk jawab semua kritikan, ini tidak bermaksud mereka boleh menghina pegawai di kementerian.

“Saya tidak berniat untuk mencetuskan ‘perang’ dengan sesiapa tetapi saya mahu mempertahankan pegawai saya,” katanya sambil menambah sedia terlibat dalam sesi perbincangan membina dengan sesiapa sahaja.

Baru-baru ini, kolumnis dengan nama John Lo mendakwa kejayaan pelancongan Sabah bukan hasil bantuan daripada Motac tetapi kegigihan pihak kerajaan negeri sendiri.

Lo juga mendakwa bantuan dalam sektor pelancongan di Sabah sudah terabai sejak dari tahun 1990-an lagi.

Dakwaan Lo antara lain menyebut Sabah dinafikan penerbangan tambahan dan juga dasar ‘langit tertutup’ yang menghalang penerbangan dari negeri-negeri selain Kuala Lumpur terus ke Sabah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button