Bisnes & Ekonomi

Agrobank lancar Program Komuniti Cashless di Tanjung Manis

TANJUNG MANIS – Agrobank hari ini melancarkan Program Komuniti Cashless dalam usaha merealisasikan agenda transformasi kewangan ke arah ekonomi digital.

Ahli Lembaga Pengarah Agrobank Mohamed Iqbal Mohamed Iqbal berkata, Agrobank komited untuk menjadi pemangkin kepada komuniti ’cashless’ atau tanpa tunai di Sarawak.

“Melalui pelbagai inisiatif pendigitalan yang ditawarkan, masyarakat Sarawak kini boleh mengakses pelbagai perkhidmatan kewangan dan perbankan digital tanpa sempadan, ke arah visi mewujudkan masyarakat ’cashless’ atau celik tunai dalam mendepani cabaran era globalisasi,” katanya.

Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Taliff Salleh di Dewan Masyarakat, Tanjung Manis di sini.

Program itu mendapat kerjasama PayNet, Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan Sarawak.

Dalam Mohamed Iqbal berkata, pelanggan Agrobank harus memanfaatkan ciri Agrobank DuitNow QR sebagai pilihan pembayaran yang mudah, selamat dan pantas dengan transaksi dalam ’real time’ bagi memenuhi setiap keperluan pembayaran.

“Ciri ini turut membantu ramai golongan peniaga dan usahawan terutamanya penjaja kecil dan mikro dalam melancarkan urusan perniagaan dan kewangan harian, seterusnya menyumbang kepada kemajuan perniagaan mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Sarawak telah menyalurkan dana tambahan sebanyak RM4 juta kepada Agrobank untuk membantu golongan B40 dan usahawan tempatan.

Beliau berkata, dana itu membuka peluang kepada industri pertanian, perikanan dan penternakan untuk menggiatkan ekonomi negara.

“Hari ini, Agrobank turut mengumumkan pemberian manfaat perlindungan takaful bernilai RM2 juta melalui Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus Agrobank kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Tanjung Manis.

”Ini termasuk Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) yang telah meluluskan dana RM869,000 kepada 25 usahawan sejak Agrobank Tanjung Manis beroperasi.

”Sumbangan ini diharap dapat memberikan jaminan perlindungan dan kestabilan kewangan kepada penerima,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Agrobank Zahid Ahmad Zawawi ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran itu berkata, inisiatif ke arah masyarakat tanpa tunai telah dilaksanakan bersama kerajaan Sarawak sejak setahun lalu.

”Sebelum ini, kami telah melaksanakan inisiatif ini di Daro yang melibatkan 100 penduduk tempatan dan peniaga. Hari ini, hampir 200 orang terlibat dan kami akan kembangkan lagi ke beberapa tempat termasuk Lawas dan Limbang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button