Berita Semasa

Anggota tentera dilaporkan hilang ketika Op Ukur sempadan

LIMBANG – Seorang anggota daripada Batalion ketujuh Rejimen Sempadan (RS) yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu dilaporkan hilang ketika sedang bertugas dalam Op UKUR di Limbang, Sarawak.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kehilangan anggota berkenaan iaitu Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim dikesan pada 18 Jun pada jam 12 tengah hari, ketika ketua kumpulan mendapati anggota tersebut hilang dari posisi belakang kumpulan.

Katanya, usaha mencari dan mengesan anggota telah segera dilaksanakan oleh kumpulan tersebut yang terdiri daripada dua anggota TDM dan lima anggota JUPEM, namun gagal menemui anggota.

“Usaha pencarian juga telah dipergiatkan oleh TDM mulai 19 Jun 2024 di kawasan tersebut dengan melibatkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Awam lain yang dikoordinasikan oleh MKN iaitu PDRM dan Bomba.

“Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga telah mengaturgerakan aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah TDM, adalah diharapkan anggota berkenaan dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggangu misi pencarian ini serta menjaga perasaan waris anggota yang terlibat.

Sebagai rekod, Op UKUR merupakan operasi yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan, melibatkan penempatan anggota TDM sebagai Pengiring Keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang melaksanakan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang mulai 11 Jun hingga 2 September ini.

Show More

Related Articles

Back to top button