Lelaki lemas ketika selamatkan adik, anak saudara di Lahad Datu
LAHAD DATU – Seorang lelaki lemas ketika cuba menyelamatkan ahli keluarga yang dihanyutkan arus deras ketika berkelah di Sungai Dewata di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail dalam satu kenyataan berkata, mangsa berusia 33 tahun ditemui tidak sedarkan diri selepas terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan adik dan anak saudaranya.
Katanya, mangsa yang terjun ke sungai bersama dua orang iparnya ‘hilang’ selepas adik dan anak saudaranya yang berusia 16 dan 10 tahun berjaya diselamatkan.
“Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, mangsa tidak dilihat naik semula ke tebing.
“Ibu mangsa yang menyedari perkara itu meminta tolong dua menantunya mencari mangsa yang kemudian ditemui dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri.
“Ahli keluarga membawa mangsa ke Hospital Lahad Datu kira-kira 32 kilometer dari lokasi kejadian untuk rawatan,” katanya.
Dzulbaharin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas hospital pada 12.49 tengah hari dan laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.
Dzulbaharin menasihatkan orang ramai tidak melakukan aktiviti riadah atau berkelah di sungai, khasnya pada musim hujan yang boleh menyebabkan paras air naik mendadak dan arus deras membahayakan keselamatan diri.