Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Miza Ozawa mengaku hidap HIV, tawar seks melalui Telegram

BANGI – Seorang wanita yang hamil enam bulan dan mendakwa mengidap HIV mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan aktiviti persundalan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Tertuduh yang merupakan penjual ubat seks, Siti Amiza Baharuddin, 27, atau lebih dikenali dengan gelaran Miza Ozawa membuat pengakuan itu di depan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Bandar Bukit Mahkota, Kajang pada 4 petang, 6 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siti Amiza dalam rayuan untuk meringankan denda mengaku sedang mengandung enam bulan dan mengidap HIV.

Dalam prosiding sama, Siti Amiza dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, Siti Amiza didakwa memiliki bahan-bahan itu yang terkandung dalam komputer riba dan tiga telefon bimbit miliknya yang didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan memiliki ubat kuat tanpa kelulusan KKM, wanita itu didakwa memiliki ubat tidak berdaftar dengan KKM iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara Jelita yang didakwa melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran atas kedua-dua kesalahan dan hukuman berjalan berasingan.

“Bagi kesalahan di bawah KKM, hukuman denda saja tidak memberi pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam,” katanya.

Siti Amiza dalam rayuannya memohon hukuman setimpal dan denda dikurangkan kerana tidak mempunyai pendapatan selepas wang simpanannya untuk bersalin sudah dirampas pihak berkuasa.

“Saya menyara hidup sendiri di Selangor dan mohon denda seminimum mungkin,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita ditahan di Bandar Bukit Mahkota kerana mempromosikan seks dan penjualan ubat seks di laman Telegram.

Serbuan polis turut menahan empat lagi wanita berusia antara 20 hingga 26 tahun.

Show More

Related Articles

Back to top button