BERITA SEMASA

Waris bekas jurugambar NSTP terima Pencen Penakat Perkeso

PUTRAJAYA – Keluarga bekas jurugambar New Straits Times Press (NSTP) yang meninggal dunia pada 5 Jun lalu menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula hari ini.

Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, waris Allahyarham Ahmad Irham Mohd Noor, 43, layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat bawah Skim Keilatan.

Katanya, arwah merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) sejak tahun 2000.

“Bekas kakitangan NSTP yang berkhidmat selama hampir 20 tahun sehingga Mac 2020 meninggal dunia akibat Severe Sepsis With Multiorgan Failure’ di Hospital Putrajaya selepas mengalami gejala demam dan jangkitan kuman dalam darah pada 28 Mei lalu.

“Hasil penelitian pihak PERKESO selain balu arwah, Azlimi Ayub@Abdullah, 43, beliau turut memiliki orang anak masing-masing berumur 14 dan 18 tahun, yang kesemua mereka layak menerima FPM bernilai RM3,000 secara sekali bayar dan Pencen Penakat berjumlah bulanan sebanyak RM2,429.38 setiap bulan untuk sepanjang hayat,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menziarahi waris keluarga Irham di kediaman mereka, di sini hari ini.

Dalam pada itu, kedua-dua anak arwah turut layak menikmati faedah berkenaan sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan ia boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

Terdahulu, PERKESO menguatkuasakan kadar bayaran FPM baharu iaitu RM3,000 berbanding RM2,000 bermula 1 Jun lalu.

Jelas Subahan, walaupun Allahyarham bukan lagi pencarum aktif berikutan tidak lagi berkhidmat dengan NSTP serta menjalankan pertanian dengan menanam cili dan timun, namun rekod caruman sedia ada telah berupaya membantu waris keluarganya untuk meneruskan kehidupan selepas pemergiannya.

“Pemberian faedah ini membuktikan setiap caruman yang dibuat adalah demi kemaslahatan pencarum dan orang tanggungannya sekiranya berlaku musibah.

“Justeru, majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum PERKESO diseru untuk mengambil ibrah daripada kejadian ini dengan laksanakan tanggungjawab mendaftar dan mencarumkan pekerja demi manfaat semua pihak terutamanya dalam tempoh pelanjutan Pemutihan yang dilaksanakan PERKESO sehingga 30 Jun ini,” ujarnya lagi.

Program Ziarah Prihatin turut dihadiri oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Timbalan Ketua Eksekutif Operasi PERKESO, John Riba Marin; Pengarah PERKESO Putrajaya, Norliza Noordin bersama Skuad PERKESO Prihatin Putrajaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button