Waris bekas petugas media terima Pencen Penakat PERKESO
KUALA LUMPUR – Keluarga bekas petugas syarikat media yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula hujung bulan ini.
Mohd Khairi Mazlan yang meninggal dunia akibat kanser limfoma meninggalkan seorang balu dan empat anak p olmtermasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang masih bersekolah.
Balu Allahyarham, Anis Sabariah Kamaruddin, 45, menyifatkan bantuan itu sebagai suatu rahmat tidak disangka pada waktu yang amat mencabar, memandangkan perlu terus menyara empat anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun, termasuk seorang yang memerlukan perhatian khas.
“Justeru, alhamdulillah, faedah ini sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan pendidikan dan keperluan harian kami sekeluarga,” katanya.
Terdahulu Ketua Cawangan Penjenamaan, Media dan Perhubungan Awam PERKESO, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin yang hadir dalam program Ziarah Kasih PERKESO menyerahkan bantuan itu kepada balu Allahyarham di rumahnya di Klang Gate, di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut PERKESO, menerusi semakan rekod pihaknya, kali terakhir caruman Allahyarham adalah pada Jun 2021, sekali gus melayakkan waris menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) secara sekali bayar sebanyak RM3,000 serta bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak RM2,553 yang akan disalurkan bermula hujung bulan ini.
Sementara itu, PERKESO menyifatkan pemergian seorang ketua keluarga sememangnya kehilangan yang tiada galang ganti.
“Namun, PERKESO sentiasa berusaha memastikan setiap pencarum yang layak akan menerima hak mereka dan keluarga yang ditinggalkan akan terus dibela serta dilindungi.
“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar angka bantuan kewangan, tetapi simbol kasih sayang yang diwariskan pencarum kepada mereka yang tersayang, walaupun selepas ketiadaan mereka.
“Inilah tujuan utama PERKESO ditubuhkan demi memastikan pencarum dan waris ditinggalkan tanpa sokongan, lebih-lebih lagi ketika berdepan saat paling sukar dalam hidup mereka,” katanya.
Sehubungan itu, PERKESO menyarankan setiap majikan untuk terus melunaskan caruman pekerja secara konsisten demi memastikan keluarga mereka dilindungi dengan sempurna, andai perkara tidak diingini berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








