Pengarah urusan syarikat hartanah dibebas tahanan reman SPRM
IPOH – Mahkamah Majistret di sini semalam membebaskan seorang pengarah urusan sebuah syarikat berkaitan hartanah yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Selasa lepas.
Keputusan dibuat Majistret S. Punitha selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili suspek.
Menurut sumber, suspek bebas dengan jaminan RM50,000 beserta dua penjamin dan perlu hadir ke Pejabat SPRM setiap bulan.
Pada Isnin lepas, SPRM menahan suspek ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi itu di sini kerana disyaki memberi rasuah kepada seorang penjawat awam bagi mengubah status Tanah Rizab Melayu seluas 650 hektar.
“Ini menyebabkan Tanah Rizab Melayu tersebut dipecah sempadan dan dipindah milik kepada syarikat serta individu bukan Melayu,” katanya.
Berikutan itu, suspek direman empat hari bermula Selasa lepas.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.