
Menteri Pertahanan adakan lawatan 4 hari ke Singapura
KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin sedang mengadakan lawatan kerja rasmi selama empat hari di Singapura.
Beliau berkata, tujuan lawatan tersebut adalah bersempena acara Five Power Defence Arrangements (FPDA) Defence Ministers’ Meeting dan The IISS Shangri-La Dialogue iaitu sebuah sidang kemuncak pertahanan utama di Asia yang diadakan di situ
“Pertemuan-pertemuan ini merupakan ruang yang cukup penting bagi negara-negara yang terlibat untuk mengadakan perbincangan soal cabaran keamanan dan keselamatan di rantau ini, di samping meneroka pendekatan-pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan.
“Kesempatan yang ada juga akan digunakan untuk terus mengukuhkan hubungan pertahanan dengan negara-negara rakan,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini
Jelasnya, pengukuhan hubungan itu dicapai melalui pertemuan dengan pemimpin kerajaan dan angkatan tentera negara luar yang kini berada di Singapura bersempena dua acara berprestij itu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan untuk bertemu dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam lawatan yang sama.
Sebagai rekod, lawatan kerja rasmi ini merupakan yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Disember yang lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








