Berita Semasa

Pemilik kenderaan perlu mohon Budi Madani untuk layak dapatkan subsidi diesel

PUTRAJAYA – Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil boleh membuat permohonan Budi Madani yang akan dibuka mulai hari ini.

Menurut Kementerian Kewangan, Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung.

“Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.

“Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kriteria kelayakan bagi kategori Budi Individu adalah melibatkan pemohon yang merupakan warganegara Malaysia; memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif.

Selain itu katanya, pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20).

Sementara itu katanya, kriteria kelayakan bagi Budi Agri-Komoditi pula melibatkan pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian
Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

“Permohonan awal untuk Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi menjelang pertengahan Jun 2024.

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang
akan dibuka sepanjang tahun. Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima Budi Madani pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024 dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan,” katanya.

Jelasnya, bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

“Budi Madani akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut Budi Madani secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung.

“Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan Budi Madani, sila layari https://budimadani.gov.my atau boleh menghubungi talian bantuan Budi
Madani di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat budimadani@treasury.gov.my,” katanya.

Pada masa sama katanya, setakat ini, hampir 90,000 fleet card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.

Jelasnya, Fleet Card membolehkan syarikat logistik yang layak untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak dan usaha ini adalah untuk memastikan kesan kos yang minimum kepada rantaian nilai logistik dan bekalan, secara langsung mengurangkan risiko kenaikan harga barangan keperluan rakyat.

“Melengkapi Program Penyasaran Subsidi Diesel secara Fleet Card di bawah MYSubsidi Program Budi Madani melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button