Henti lesen premis, Kedah berdepan tuntutan ratusan juta ringgit dari syarikat judi
ALOR SETAR – Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan berdepan tuntutan ganti rugi bernilai ratusan juta ringgit daripada pengusaha premis perjudian susulan dasar negeri menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi sejak 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun pihaknya bersedia mempertahankan dasar itu di mahkamah sekiranya tuntutan dikemukakan pengusaha yang terjejas.
“Dasar yang dibuat oleh kerajaan negeri selepas mahkamah mendapati kita tak ada kuasa itu (mengharamkan judi), kita kena tanggung ganti rugi ini. Ganti rugi itu mungkin banyak sehingga beratus juta.
“Kita bukan tahu syarikat judi untung berapa, kalau tidak depa (mereka) tak pulun (usaha) sampai tahap ini. Tapi kita lawan dulu (di mahkamah) sebab sekupang (10 sen) pun duit kita nak bagi kat syarikat judi, kita lawan sampai dinding,” katanya memetik laporan BH Online
Beliau berucap pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah, di sini malam tadi.
Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan terhadap keputusan yang memutuskan tindakan menghentikan pengeluaran serta pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian adalah tidak sah.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, jumlah kerugian yang didakwa pengusaha perlu dibuktikan termasuk melalui rekod pendapatan yang diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliiau berkata, perkara itu mudah dilawan di mahkamah sekiranya pengusaha terbabit tidak mengisytihar pendapatan mereka lembaga berkenaan.
“Adakah selama beroperasi di Kedah, mereka isytihar pendapatan sebenar kepada LHDN atau tidak. Kalau tak isytihar dan ada tuntutan mudah nak patahkan. Kalau isytihar, sebanyak mana depa (mereka) isytihar kena bicara di mahkamah, kita perang lagi untuk depa dapat ganti rugi selama kita tidak bagi lesen premis,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu juga secara tidak langsung boleh mendedahkan jumlah keuntungan sebenar yang diperoleh syarikat perjudian daripada operasi mereka di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri tetap akan mempertahankan pendirian supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan wang kerajaan untuk membayar tuntutan kepada syarikat perjudian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








