BERITA SEMASA

Kenyataan MB Kedah mengelirukan, kerajaan tidak pernah lulus lesen judi baharu – MOF

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu, selain tidak menambah bilangan premis perjudian di Kedah atau negeri-negeri lain.

Menurut MOF, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu lesen judi yang dilaporkan media baru-baru ini mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di negeri berkenaan.

MOF menegaskan, jumlah lesen dan permit perjudian yang berkuat kuasa ketika ini kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak 1990-an.

“Sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi parti PAS, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.

“Berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan pada 2020 telah memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan sahaja setahun.

“Kemudian, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional pada 2020 telah memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas 22 kali setahun,” menurut kenyataan MOF hari ini.

MOF berkata, selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal dibuat adalah membatalkan peningkatan berkenaan dengan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan, sebagai langkah kawalan, syarat ketat turut ditetapkan kepada pemegang lesen bagi memastikan aktiviti perjudian berlesen dikawal selia.

“Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button