Berita Semasa

KKDW peruntuk RM1.7 juta laksanakan Program Pendigitalan Usahawan Desa

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi terus memperkasakan inisatif Program Pendigitalan Usahawan Desa.

Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, program yang masuk tahun kedua penganjurannya itu, merupakan strategi di bawah Teras 2 Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).

“Teknologi digital yang relevan boleh memberikan impak positif jika digunakan dalam sesebuah perniagaan.

“Jika penggunaan pendigitalan diabaikan, perniagaan akan hilang daya saing sama ada di peringkat tempatan mahu pun global dan ianya merugikan kita,” kata Ramlan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Siri 1 program tersebut, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti KKDW, Mohd. Sabry Ramli; dan Pengarah Utusan e-Lokal, Ahmad Shah Wahid.

Antara modul yang dilaksanakan di bawah program ini termasuk pendigitalan kewangan, pengurusan stok di gudang dan kedai, dan juga pengurusan gerbang pembayaran.

“Program ini merupakan inisatif tambahan yang dilaksanakan Kementerian.

“Di samping merapatkan jurang digital, program ini juga bertujuan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti, kecekapan dan sebagai kesediaan menjalankan perniagaan secara dalam talian selaras perkembangan teknologi terkini dan situasi ekonomi semasa,” kata Ramlan lagi.

Bagi tahun ini, sebanyak enam siri program diadakan dengan sasaran penyertaan sebanyak 1,000 usahawan.

Show More

Related Articles

Back to top button