KPDN Selangor tumpas sindiket seleweng 98,400 liter diesel bersubsidi
PULAU MERANTI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya menumpaskan sindiket dipercayai cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 5.0 di sebuah kawasan perindustrian di sini, malam semalam.
Menurut Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, anggaran keseluruhan bahan api yang disita adalah sebanyak 98,400 liter dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM400,000.
Katanya, serbuan dijalankan pada malam semalam iaitu kira-kira jam 10.00 malam oleh sepasukan polis hasil serahan kes daripada Wildlife Crime Bureau atau Perisikan Siasatan Khas Bukit Aman.
“Kawasan lapang tersebut dipercayai dijadikan tempat pemindahan minyak diesel dari kenderaan motor lori kecil atau jenis bonded yang diubah suai dengan tangki IBC yang berisi bahan api untuk dipindahkan ke dalam badan motor lori jenis kontena.
“Semasa serbuan di lokasi tersebut, pasukan telah menemui aktiviti memindah bahan api disyaki diesel daripada motor lori jenis bonded ke motor lori tangki (tanker) dan seterusnya dipindahkan lagi ke lori kontena,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian penyeludupan minyak diesel itu hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Zuhairi berkata, untuk mengelak daripada dihidu pihak berkuasa, sindiket menggunakan flexi bag bagi menyimpan minyak diesel tesebut.
Jelas beliau, flexi bag itu mampu memuatkan lebih 70,000 liter minyak diesel dan mengembang mengikut bentuk tempat penyimpan iaitu lori kontena.
Hasil serbuan, pihak polis turut menahan empat lelaki warga tempatan berumur lingkungan umur 43 hingga 45 tahun dipercayai berperanan sebagai pemandu lori dan pembantu kelindan lori.
Selain itu, katanya, pihak polis juga berjaya menghentikan pergerakan serta aktiviti pemindahan semasa serbuan.
“Kesemua individu yang ditahan gagal mengemukakan lesen atau permit kebenaran menyimpan dan membawa minyak diesel dan tindakan reman dengan perintah Mahkamah selama tiga hari telah diperoleh ke atas tahanan,” ujarnya.
Selain itu, pihak KPDN turut menyita sebuah motor lori tanker, sebuah motor lori bonded yang membawa dua tangki IBC, sebuah motor lori kontena dan peralatan lain seperti motor pump dan hos penyambung yang disyaki digunakan bagi aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api secara tidak sah.
“Nilai keseluruhan rampasan di dalam kes serahan ini mencecah RM400,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya lagi.