Lari takut terkantoi, kereta sepasang kekasih terbabas
ALOR GAJAH – Keseronokan pasangan kekasih berdua-duan di dalam kereta di kawasan sunyi berakhir dengan nasib malang apabila terbabas ketika cuba melarikan diri dari unit peronda polis di kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 26 tahun itu terbabas di Paya Lebar selepas dikejar kenderaan pelbagai guna (MPV) polis semasa rondaan cegah jenayah di kawasan hutan simpan berkenaan.
“Selepas terbabas, suspek melarikan diri dengan meninggalkan teman wanitanya. Wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil pemeriksaan polis juga tidak menemui sebarang barang yang menyalahi undang-undang di dalam kenderaan suspek.
“Bagaimanapun pemeriksaan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata, anggota peronda kemudiannya menghantar wanita berkenaan ke rumah saudaranya di Telok Gong dekat sini.
“Kita sudah mengenal pasti suspek dan siasatan mendapati lelaki itu dipercayai melarikan diri kerana takut ditahan oleh pihak polis sebab berdua-duaan dengan teman wanitanya itu di dalam kereta,” katanya.