JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan kekasih mengaku salah sembunyi kelahiran, ambil ubat gugur kandungan

AYER KEROH – Sepasang kekasih remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran dan mengambil ubat menggugurkan kandungan dalam kejadian bulan lalu.

Tertuduh lelaki, Adam Harith Ahmad, 18, serta teman wanitanya berusia 17 tahun membuat pengakuan itu dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman dan Uthman Abd Ghani.

Di Mahkamah Majistret 2, Adam Harith didakwa menyembunyikan kelahiran dengan membungkus mayat bayi yang meninggal dunia ketika dilahirkan oleh teman wanitanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam but sebuah kereta di sebuah rumah di Kampung Batu Gajah, Kilometer 29 Merlimau, Jasin pada pukul 11.40 malam pada 25 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Farid Abdul Aziz yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya merupakan pesalah muda dan bakal dijamin oleh abangnya.

BACA JUGA:

Pendarahan bongkar cubaan gugur kandungan, dua remaja bakal didakwa

Beliau turut memaklumkan ibu tertuduh ialah seorang pesara dan ibu tunggal yang turut menjaga nenek tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman selain mendapatkan laporan sosial.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 4, remaja perempuan terbabit pula didakwa mengambil ubat jenis Misoprostol dengan niat menghalang bayi berkenaan dilahirkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam pada pukul 10 pagi pada tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Nur Zaidah Muhamad Zailani menawarkan jaminan RM3,000.

Namun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili remaja perempuan itu merayu jumlah jaminan dikurangkan.

Menurutnya, anak guamnya yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bercadang menyambung pengajian dan sedang menunggu tawaran UPU.

Beliau berkata, remaja itu tinggal bersama keluarga selain bapanya baru berhenti kerja sebagai penghantar barangan manakala ibunya bekerja sebagai buruh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga serta menetapkan 9 Julai depan bagi mendapatkan laporan sosial.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button