Pendarahan bongkar cubaan gugur kandungan, dua remaja bakal didakwa
MELAKA – Tindakan seorang remaja perempuan mendapatkan rawatan akibat pendarahan di hospital membongkar cubaan menggugurkan kandungan berusia lima bulan bersama teman lelakinya, dipercayai dengan mengambil pil.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan di Hospital Melaka pada jam 6.50 petang, 25 April lalu.
Menurutnya, remaja berusia 17 tahun 10 bulan itu tiba dalam keadaan berlumuran darah dan dipercayai mengalami pendarahan selepas mengambil pil pengguguran, selain berdepan komplikasi apabila uri gagal dikeluarkan sepenuhnya.
“Siasatan mendapati remaja itu bersama teman lelaki berusia 18 tahun merancang untuk menggugurkan kandungan dengan menggunakan pil.
“Selepas kejadian, lelaki terbabit dipercayai mengambil janin di rumah remaja berkenaan dan merancang untuk menanamnya di belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, janin tersebut bagaimanapun disembunyikan terlebih dahulu di dalam sebuah kereta.
Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka menahan suspek lelaki pada jam 11.40 malam hari sama bagi membantu siasatan.
“Remaja perempuan terbabit pula ditahan pada jam 3.15 petang semalam sebaik sahaja keluar dari hospital,” katanya lagi.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tambah beliau, kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Melaka dan arahan diperoleh untuk mendakwa suspek lelaki di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan manakala suspek perempuan di bawah Seksyen 315 kanun sama.
Kedua-dua suspek dijadualkan dituduh di mahkamah pada Jumaat ini.
Kes berkenaan sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap isu sosial dalam kalangan remaja, khususnya melibatkan kesihatan reproduktif dan tindakan berisiko yang boleh mengancam nyawa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






