BERITA SEMASAAUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Ebixon lancar dua model motosikal EV

TC Max, CPX Pro mampu memenuhi kehendak peminat motosikal elektrik

OLEH : MOHD HAZLI HASSAN

KUALA LUMPUR – Pemain jentera elektrik negara, Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. (Ni Hsin EV) hari ini melancarkan dua motosikal elektrik terbaharu di bawah jenama Ebixon untuk peminat tempatan.

Majlis pelancaran Ebixon TC Max dan CPX Pro hari ini dilancarkan oleh bekas pelumba MotoGP dan juara lima kali perlumbaan dunia, Jorge Lorenzo.

TC Max, CPX Pro yang dibekalkan dengan kuasa bateri masing-masing 72V dan 60V dilihat bakal menjadi pencabar kepada saingan jentera EV dua roda tempatan.

Bagi CPX Pro, ia didatangkan dengan empat warna pilihan dengan kuasa cas bateri hanya sekitar 3.5 jam.

Manakala bagi TC Max pula hadir dengan tiga warna dipadankan dengan pengecas 83V yang mampu mengecas dalam tempoh 4.5 jam.

Ebixon TC Max dan CPX Pro dilancarkan oleh bekas pelumba MotoGP dan juara lima kali perlumbaan dunia, Jorge Lorenzo (tengah).

Menarik bagi CPX Pro, daya kilas yang diberikan ialah sekitar 258Nm yang mampu mencatatkan kelajuan maksimum 105 kilometer sejam (km/j) dengan jarak perjalanan 220 kilometer bagi sekali cas penuh.

TC Max yang mampu menjana kuasa puncak 5.1kW boleh dipacu sejauh 130 kilometer dengan kelajuan maksium 95 km/j serta daya kilas 160Nm.

Peminat motorsikal EV tempatan boleh memilih antara dua jentera ini yang mana TC Max mempunyai berat 101 kilogram (kg) manakala CPX Pro pula ialah 143 kg.

Dalam pada itu, Naib Presiden Jualan dan Pembangunan Perniagaan Ni Hshin EV Tech, Syazril Amri Abdul Rahman berkata, peminat motosikal EV boleh mengambil peluang skim galakan penggunaan motosikal elektrik, Mariicas yang membolehkan mereka yang layak mendapat rebat RM2,400 bagi pembelian motosikal elektrik.

Menurut beliau, selain rebat berkenaan, pihaknya juga akan menawarkan diskaun kepada pembeli awal bernilai RM1,000.

“Dengan tawaran diskaun dan skim ini, pembeli dapat memiliki sebuah motosikal EV yang berprestasi tinggi dengan harga yang menarik,” katanya.

Dalam pada itu, Syahzril Amri turut menyatakan yang pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan sebuah syarikat permotoran tempatan untuk mewujudkan rangkaian bengkel servis motosikal keluaran mereka.

“Setakat ini kita masih dalam perbincangan dengan mereka tetapi jika ada pemilik model-model motosikal EV keluaran kami termasuk Ebixon dan Vmoto yang ingin melakukan sebarang pemeriksaan, tuntutan waranti dan pembaikian boleh terus ke kilang kami di Seri Kembangan, Selangor,” katanya.

Ebixon TC Max (kiri) dan CPX Pro.

Apa pun kata beliau, pemilik motosikal EV tidak perlu khuatir kerana motosikal elektrik adalah jentera dengan penyenggaraan yang rendah.

“Mereka hanya perlu memastikan minyak brek, pad brek, tayar dan bateri dalam keadaan baik. Jentera ini tidak ada enjin jadi tak perlu khuatir.

“Malah, kami turut menawarkan waranti 2 tahun bagi badan dan 2 tahun bagi bateri jika ada berlaku sebarang kerosakan,” katanya lagi.

Sementara itu pemilik GGR Motor (Malaysia) Sdn. Bhd., Muhammad Musaddiq Mohamad Azmi juga menyatakan bahawa dua jentera baharu ini berpotensi untuk proses peningkatan prestasi berbanding spesifikasi sedia ada.

“Boleh, macam-macam kami boleh upgrade. Kelajuan atau jarak perjalanan. Saya dah beli sebuah untuk proses relai bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan. Tunggu pengumuman kami,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran di Kuala Lumpur pada Rabu.

TC Max ditawarkan dengan harga RM19,900 sementara CPX Pro Hi Line dengan dua bateri (RM25,900) manakala varian asas CPX Pro – satu bateri (RM18,900).

Bagi pembelian awal, Ni Hsin EV Tech menawarkan diskaun RM1,000 serta helmet, baju hujan dan kemeja T percuma.

Maklumat lanjut mengenai jentera ini boleh diperolehi dengan menghubungi talian 0143387555 atau 0173337555.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button