Perbahasan mengenai pendidikan tinggi perlu berasaskan fakta, data yang sahih
CYBERJAYA – Sebarang perbahasan berkaitan pendidikan tinggi perlu berasaskan fakta dan data yang sahih serta kefahaman yang tepat terhadap struktur tadbir urus universiti.
Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor (JKNCR) Universiti Awam dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kekal komited mempertahankan integriti, kredibiliti dan kecemerlangan sistem pendidikan tinggi negara.
“Merujuk kepada kenyataan yang telah dibangkitkan oleh seorang ahli politik baru-baru ini, JKNCR menyeru semua pihak supaya membincangkan isu pendidikan tinggi secara bertanggungjawab, berasaskan fakta serta mengelakkan naratif yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan negara.
“Pendidikan tinggi merupakan aset strategik negara. Justeru, semua pihak perlu berganding bahu memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi demi kepentingan mahasiswa, institusi dan masa depan negara,” kata JKNCR dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Menurut JKNCR, institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tidak pernah mengamalkan budaya “menjual tempat” kepada mana-mana pihak kerana proses kemasukan pelajar sentiasa tertakluk kepada syarat akademik, merit, kapasiti program, keperluan akreditasi serta kelulusan pihak berkuasa universiti yang berkaitan.
“Setiap tahun, IPTA memastikan kapasiti kemasukan pelajar saluran perdana (bersubsidi) sentiasa dipertingkatkan.
“Ini dibuktikan menerusi peningkatan tawaran bagi lepasan STPM dan setaraf ke peringkat pengajian Sarjana Muda secara konsisten sejak tiga tahun ini, iaitu 79, 646 tawaran bagi sesi 2023/2024, diikuti 79,845 (sesi 2024/2025) dan 88,102 (2025/2026).
“Tawaran Peningkatan berterusan ini membuktikan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa memperluaskan akses pendidikan tinggi awam dan bukannya dikurangkan sebagaimana yang didakwa,” katanya.
Mengenai dakwaan laluan masuk menerusi pintu belakang, JKNCR berkata ia adalah tidak berasas sama sekali kerana akses kemasukan ke IPTA tidak terhad kepada platform UPUOnline sahaja.
“Terdapat pelbagai inisiatif kemasukan yang distrukturkan mengikut ketetapan dan keperluan program pengajian, antaranya saluran antarabangsa, saluran fleksibel, saluran lepasan diploma, APEL, pembelajaran sepanjang hayat atau eksekutif dan menerusi program profesional.
Kesemua laluan ini adalah laluan pendidikan yang sah dan diiktiraf sepenuhnya oleh pihak berautoriti dan masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








