
Fakulti AI pertama di Malaysia dirasmi 10 Mei ini
KUALA LUMPUR – Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang pertama di Malaysia akan dirasmikan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 10 Mei ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, fakulti berkenaan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Program tersebut sudah pun bermula di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan universiti-universiti yang lain.
“Untuk permulaan, kita mahu jadikan fakulti tersebut benar-benar mempunyai kualiti yang baik,” katanya menurut laporan Kosmo online semalam.
Zambry berkata, kepakaran-kepakaran yang ada di universiti-universiti lain juga turut menjayakan penubuhan fakulti tersebut di UTM.
“Program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan (AI) telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Pendidikan Tinggi (JKPT) pada Januari lalu dan pelajar kohort pertama program itu akan memulakan pengajian Oktober ini.
“Pembangunan dan kokurikulum AI telah dikenal pasti menepati keperluan industri, melibatkan pakar-pakar bidang AI serta seiring dengan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 yang dirangka oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya lagi.
Sementara itu, Zambry berkata, penganjuran Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) ini bermula pada 4 Mei sehingga 9 Jun 2024.
Program tersebut akan diadakan di 10 zon di seluruh negara bermula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar manakala Majlis Penutupan JMU2024 akan diadakan di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







