Berita Semasa

PRK KKB: Penduduk, pengundi tidak perlu khuatir dengan keselamatan

HULU SELANGOR – Penduduk dan pengundi sekitar Kuala Kubu Bharu tidak perlu khuatir dengan keselamatan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 11 Mei nanti.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan rapi sudah dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejurus kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diumumkan.

“Saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain baru-baru ini mengenai tahap keselamatan (Kuala Kubu Bharu).

“Sehingga hari ini perjalanan kempen berjalan lancar tanpa berlaku insiden yang tidak diingini dan orang ramai tidak perlu risau untuk keluar mengundi nanti,” kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kasim; Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Untuk rekod, PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei ini.

Show More

Related Articles

Back to top button