Politik

Perlu matang, dapat bezakan antara balas kritikan dan melenting – Nie Ching

HULU SELANGOR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari perlu matang apabila mengeluarkan kenyataan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) cepat melatah serta mudah melenting sekiranya dikritik.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching berkata, Ahmad Fadhli seharusnya dapat membezakan antara membalas kritikan dan melenting.

“Saya rasa kenyataan itu (dibuat Ahmad Fadhli) tidak cukup matang. Apabila ada orang serang kenyataan mereka, dikatanya cepat melatah.

“Jadi, saya rasa tidak perlu label orang lain dengan macam-macam gelaran jika mereka diserang atau dikritik balik.

“Saya rasa pemimpin tersebut patut fikir sendiri dan beliau terperangkap dengan kenyataan yang dibuat itu,” katanya kepada pemberita ketika program jelajah mesra di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu bersama calon PH, Pang Sock Tao, di sini hari ini.

Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahmad Fadhli yang mendakwa pemimpin dan penyokong PH cepat melenting apabila dikritik.

Kenyataan itu dibuat Ahli Parlimen Pasir Mas melalui hantaran Facebooknya semalam, susulan cabaran yang dibuat terhadap Sock Tao.

Isu berkaitan pencapaian pendidikan calon menjadi tumpuan kempen PRK kali ini susulan wujud dakwaan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mengemukakan sijil palsu.

Bagaimanapun isu tersebut selesai selepas Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengesahkan sijil Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dimiliki Khairul Azhari.

Sebagai menyahut cabaran dibuat oleh pemimpin pembangkang itu, Sock Tao yang juga bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menayangkan slip keputusan cemerlangnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Show More

Related Articles

Back to top button