Suzuki Avenis, Burgman Street EX saingan baru dunia skuter
Direka bentuk untuk penggunaan harian di kawasan bandar padat dengan teknologi terkini
OLEH : MOHD HAZLI HASSAN
PENGGUNA skuter kini mempunyai pilihan lebih baik selepas Suzuki Malaysia menawarkan dua varian skuter kapasiti kecil bagi kegunaan harian, Avenis dan Burgman Street EX terutama kepada golongan muda.
Dua skuter ini walaupun tidak se’premium’ kebanyakan skuter yang ada di pasaran namun dipadatkan dengan enjin SOHC SEP 125cc 4-Lejang bersama sistem penyejukan udara yang mampu menjana kuasa sebanyak 8.7PS pada 6,750 RPM dan tork sebanyak 10Nm pada 5,500 RPM.
Bagi Burgman pula, Suzuki menawarkan ciri-ciri tambahan termasuk ‘Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-α)’ yang dilengkapi dengan sistem ‘Engine Auto Stop-Start (EASS)’ bagi melengahkan enjin secara automatik apabila berhenti, serta ‘ Suzuki Silent Starter System’ untuk permulaan semula enjin yang senyap.
Walaupun kedua-dua jentera ini dilihat agak asas, namun Avenis dan Burgman Street EX diperkemaskan bagi membolehkan konsep aktif ‘On-The-Go’ dipraktikkan di mana bagi Avenis, penutup salur masuk bahan api disediakan di bahagian luar belakang pelana bagi membolehkan pengisian bahan api dilakukan dengan mudah.
Dengan kapasiti bahan api 5.2 liter, Avenis mampu memberikan jarak perjalanan yang selesa untuk pengguna harian lebih-lebih lagi bagi penunggang metropolitan.
Ia berbeza dengan Burgman Street EX yang lebih premium berbanding Avenis di mana ia ditawarkan dengan reka bentuk yang lebih elegan. Walaupun kompak, ia masih menawarkan pakej keselesaan dan pratikaliti.
Pelana yang lebih besar akan memberikan pengalaman tunggangan yang selesa manakala ruang kaki yang lebih lebar dan panjang memberikan fleksibeliti untuk meluruskan kaki dalam tunggangan yang lama.
Kedua-dua skuter terbaharu Suzuki ini menawarkan ruang simpanan bawah pelana sebesar 21.5 liter, dua gantungan topi keledar dan tambahan dua gantungan utiliti sebagai aksesori tambahan.
Malah, dua jentera ini juga dilengkapi dengan petak simpanan yang dilengkapi dengan port pengecasan USB untuk membolehkan pemilik melakukan pengecasan semasa tunggangan.
Berbanding Avenis yang mempunyai kapasiti tangki bahan api 5.2 liter, Burgman Street EX dipadankan dengan tangki sebesar 5.5 liter, untuk tunggangan yang lebih jauh, antara yang terbaik dalam kelasnya.
Ditawarkan dengan harga bermula dari RM6,980 hingga RM7,500 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), satu tawaran harga yang menarik, Avenis dipadankan dengan kombinasi warna Metallic Matte Fibroin Grey dengan Metallic Lush Green, Metallic Matte Black dengan Glass Sparkle Black dan edisi khas Metallic Sonic Silver dengan Triton Blue bagi Edisi GP yang menampilkan grafik perlumbaan Suzuki.
Manakala Burgman Street EX pula ditawarkan dengan dalam dua pilihan warna eksklusif – Pearl Moon Stone Gray dan Metallic Mat Black.
Umum mengetahui bahawa Suzuki merupakan pemain utama dalam segmen skuter sejak tahun 90-an lagi bermula dengan model V100 dan penampilan Avenis serta Burgman Street EX ini merupakan komitmen syarikat itu kepada peminat jenama Jepun berkenaan untuk skuter yang lebih berkualiti dan berprestasi tinggi.
Kedua-dua varian skuter terbaharu Suzuki ini boleh ditempah di semua pusat jualan Suzuki seluruh negara bermula hari ini.