Berita Semasa

PM, isteri luang masa bertemu Nadir Al-Nuri bersama keluarganya

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini meluangkan masa bertemu dengan aktivis kemanusiaan Muhammad Nadir Al-Nuri bersama keluarganya di Kompleks Seri Perdana di sini.

Dalam satu hantaran dalam laman Facebook Perdana Menteri, beliau turut memuat naik gambar bersama Muhammad Nadir, isteri, dan tiga anaknya.

“Alhamdulillah, gembira melihat isteri dan anak-anaknya kini berada dalam keadaan baik selepas melalui penderitaan yang panjang di Semenanjung Gaza.

“Kami berbicara panjang terkait penderitaan rakyat Palestin, pendirian Malaysia serta pengalaman anggota keluarganya keluar dari zon konflik sebelum pulang ke Malaysia.

“Saudara Nadir turut berkongsi kisah yang begitu mengesankan, di mana anak-anaknya teruja melihat telur dan tembikai ketika mula sampai ke Malaysia kerana sudah berbulan lamanya tidak dapat menikmati makanan asas itu akibat situasi perang yang terus memburuk di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan Nadir dan keluarganya dapat meneruskan kehidupan dengan tenang di sini.

Pada masa sama, Anwar turut berjanji untuk terus membantu sedaya upaya dalam memudahkan urusan menyalurkan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada rakyat Palestin.

Kelmarin, Nadir berkongsi kisah bagaimana keluarganya dibawa keluar dari Gaza, Palestin dan bertemu di Malaysia pada Hari Raya Aidilfitri.

Dalam hantaran dalam laman Facebooknya, Nadir mendedahkan bahawa Perdana Menteri merupakan individu penting yang menjayakan ‘misi gila’ itu.

Show More

Related Articles

Back to top button