Berita Semasa

Salurkan maklumat ke pihak berkuasa – MCMC

Isu kasut berlogo kalimah Allah

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat di media sosial melibatkan logo kasut yang didakwa mirip kalimah Allah untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya ada pihak cuba mengambil kesempatan terhadap isu tersebut dan membuat hantaran atau meninggalkan komen melampaui batas yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Semua pihak perlu memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan ini.

“Orang ramai diingatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan kandungan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (Race, Royalty, Religion), sebaliknya laporkan kepada MCMC,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, orang ramai boleh membuat laporan berkenaan di pautan https://aduan.mcmc.gov.my atau kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, tular isu di media sosial di mana sepasang suami isteri mendakwa mereka terkejut selepas mendapati tapak kasut milik isterinya yang dibeli pada Sabtu lalu didakwa mempunyai kalimah Allah.

Buat masa ini, isu tersebut masih lagi di bawah siasatan pihak berkuasa.

Show More

Related Articles

Back to top button