Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara diumum Mei ini
PUTRAJAYA – Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030 yang bertujuan menangani kesenjangan dalam dasar sumber manusia sedia ada akan diumum pada Mei ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, agenda masyarakat menua, pemerkasaan wanita dan pasaran kerja industri baharu merupakan antara fokus Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia 2024-2030.
“Sebenarnya (Rangka Kerja) Dasar Sumber Manusia Negara ini ingin melihat lebih kepada jurang ataupun kesenjangan yang ada pada dasar masa kini contohnya dalam dokumen dasar seperti Rancangan Malaysia (RMK) dan sebagainya. Apa kesenjangannya? Agenda masyarakat menua, bagaimana kita nak berhadapan dengan pasaran kerja dengan isu agenda menua ini.
“Kemudian isu pemerkasaan wanita untuk kembali ke kerjaya mereka sebab kita ada sasaran untuk mencapai 60 peratus kadar penyertaan buruh wanita. Jadi kita hendak mencapai ke arah itu agak perlahan sekarang. Jadi kita nak melihat bagaimana boleh merancakkan lagi pencapaian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Town Hall Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara 2024-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Sesi ‘Town Hall’ itu dihadiri seramai 1,000 orang peserta daripada pelbagai sektor termasuk penjawat awam, swasta, majikan, wakil kesatuan sekerja dan NGO belia, NGO wanita serta yang mewakili golongan orang kurang upaya (OKU) dengan tujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas dari setiap pihak dalam merangka dasar berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya turut mendapat maklum balas di peringkat NGO berkaitan pengiktirafan terhadap ekonomi ihsan.
“Kita dalam proses untuk melihat bagaimana kita boleh buat pemerkasaan latihan, kemahiran kepada pekerja-pekerja ekonomi ihsan dan juga perlindungan sosial yang lebih menyeluruh kepada pekerja sektor ini,” jelasnya.
Pada masa ini, ujarnya, pihak kementerian sedang mengumpulkan dan mempertimbangkan setiap satu dapatan serta maklum balas yang dilihat sesuai sebelum dimasukkan ke dalam Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara.
Steven menjelaskan bagi yang tidak sempat menghadiri sesi ‘town hall’ dan sesi libat urus yang diadakan sebelum ini, mereka boleh melayari portal maklum balas di bawah KESUMA yang akan beroperasi selama sebulan bermula 18 Mac ini.
Portal itu boleh diakses kepada semua rakyat Malaysia untuk memberikan maklum balas mengenai rangka kerja dasar tersebut.