Berita Semasa

Banjir: Empat laluan utama di Kota Tinggi ditutup

KOTA TINGGI – Empat laluan utama di daerah ini ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki banjir sehingga 0.4 meter, pagi tadi.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi, empat laluan itu membabitkan Jalan Kota Tinggi-Kluang (Batu 25) FT91; Jalan Kota Tinggi-Kulai (Ladang Alaf) FT94; Jalan Kota Tinggi-Kluang (Sanggar Kota) FT91 dan Jalan Kota Tinggi-Kluang (Tun Habab) FT91.

Kesemua laluan itu ditutup akibat dinaiki air sedalam antara 0.3 hingga 0.4 meter dan mula ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak 9 pagi tadi, berikutan arus deras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora turut menasihatkan orang ramai supaya patuh pada notis arahan penutupan laluan dinaiki air banjir bagi keselamatan mereka.

“Susulan hujan lebat berterusan dari awal pagi tadi, beberapa laluan dinaiki air banjir dan terpaksa ditutup sementara.

“Kita nasihatkan orang awam patuh kepada arahan dan notis penutupan dikeluarkan dengan tidak meredah laluan ditutup.

“Ia berikutan air bah laluan ditutup berarus deras dan agak dalam sekali gus berbahaya kepada pengguna jalan raya. Sila patuh pada arahan dan gunakan laluan alternatif atau pun tangguhkan dahulu perjalanan,” katanya ketika dihubungi.

Show More

Related Articles

Back to top button