Jegan korban sambutan Deepavali demi kempen PRN Melaka
GADEK – Persiapan menyambut Deepavali terpaksa diketepikan buat sementara waktu apabila calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, Jegasilan Kungamboo atau Jegan K., memilih untuk terus memberi tumpuan kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berkata, meskipun sambutan Deepavali disambut hari ini, tanggungjawab berkempen tetap perlu diteruskan memandangkan tempoh berkempen hanya berbaki seminggu sebelum hari pengundian pada 14 November ini.
“Semua orang kata hari ini hari Deepavali, tetapi bagi saya, Deepavali saya pada 14 November. Jadi, saya perlu bekerja keras juga,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk di sini hari ini.
Menurutnya, beliau tetap meneruskan aktiviti ziarah dari rumah ke rumah sepanjang musim perayaan bagi mendekati pengundi, termasuk mengunjungi kediaman rakan dan saudara-mara.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja membolehkannya memperkenalkan diri kepada penduduk, malah membuka ruang untuk mengenali mereka dengan lebih dekat menerusi perbualan secara bersemuka.
Beliau berkata, strategi kempen turut disesuaikan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, khususnya hujan pada sebelah petang, namun keadaan itu tidak menghalangnya untuk terus bertemu penduduk.
“Petang-petang ini sudah hujan. Kita berkempen pun dalam hujan, bawa payung dan terus berjalan. Terpaksa juga kerana kita perlu jumpa semua penghuni. Mereka perlu kenal kita dan kita juga perlu kenal mereka,” katanya.
Mengulas isu yang dibangkitkan penduduk sepanjang kempen, Jegan berkata, masalah bekalan air, sistem perparitan dan keadaan jalan raya antara aduan yang kerap diterima di beberapa kawasan perumahan.
Katanya, masalah bekalan air termasuk paip pecah dan tekanan air rendah sehingga menyebabkan kawasan di tempat tinggi tidak mendapat bekalan mencukupi turut menjadi antara perkara yang memerlukan perhatian.
Selain isu infrastruktur, beliau berkata, aspek kebajikan penduduk juga perlu diberi perhatian, termasuk golongan yang kelihatan mempunyai kediaman dan kenderaan sendiri tetapi masih memerlukan bantuan.
“Orang selalunya tengok rumah ada, kereta ada, mereka ingat seseorang itu tidak perlukan kebajikan. Tetapi mereka juga memerlukannya.
“Mungkin rumah itu dibeli oleh arwah suami atau isteri, tetapi individu yang masih tinggal di situ tetap memerlukan bantuan kebajikan,” katanya.
Beliau berkata, perkara berkaitan kebajikan menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan penduduk ketika sesi pertemuan sepanjang kempen, sekali gus memerlukan tindakan segera bagi membantu golongan yang memerlukan.
Jegan berkata, sekiranya diberi mandat oleh pengundi, PH akan berusaha mempergiatkan usaha berkaitan kebajikan penduduk di kawasan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














