Pesara rugi RM179,490 diperdaya sindiket Macau Scam
KUALA LUMPUR – Seorang pesara berusia 73 tahun mengalami kerugian RM179,490 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram serta pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asistan Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa pada mulanya dihubungi dua individu yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Salawati dan Datuk Nik Ezanee.
Menurutnya, suspek kemudian mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah berkenaan sebelum mengarahkannya menyerahkan kad bank, wang tunai dan barang kemas bagi tujuan siasatan kononnya oleh pihak polis.
“Mangsa diarahkan menyerahkan barangan berkenaan kepada individu tidak dikenali pada 8 September lalu.
“Mangsa bertemu individu terbabit di sebuah pangsapuri di Sri Petaling sebelum menyerahkan kad bank, wang tunai dan barang kemas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM179,490 melibatkan wang tunai, pembelian emas dan pemindahan wang ke tiga akaun pihak ketiga.
Mangsa yang menyedari dirinya ditipu kemudiannya tampil membuat laporan polis.
Hoo berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan termasuk mendapatkan maklumat daripada syarikat telekomunikasi serta meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti serta mengesan suspek yang terbabit,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













