BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Ditipu rakan, dipaksa jadi ‘scammer’ di Kemboja

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga tempatan terperangkap dalam sindiket penipuan pekerjaan apabila ditipu rakan sendiri sebelum dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di Kemboja.

Mangsa dikenali sebagai Peter, 34, dan Jackson, 40, kini dilaporkan berada dalam keadaan tertekan selepas dipukul, diugut serta tidak dibenarkan pulang ke Malaysia.

Bapa kepada Peter, Low Ang Seow, 67, berkata, anaknya memaklumkan akan berangkat ke Filipina pada 15 April lalu atas tawaran kerja yang diperkenalkan seorang rakan, namun keluarga kemudian menerima mesej mengejutkan.

“Pada 12 Ogos kira-kira pukul 1.40 pagi, saya dapat mesej di Telegram bahawa anak saya sebenarnya telah ditipu dan dibawa ke Kemboja untuk bekerja.

“Dia beritahu ejen sindiket tidak membenarkan dirinya pulang ke Malaysia. Selepas tiba barulah dia sedar tempat itu adalah pusat kegiatan penipuan dan pemerdagangan manusia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), hari ini.

Tambahnya, Peter sebelum ini bekerja sebagai mekanik dan pemandu e-hailing, namun terjerat dengan pujukan rakannya yang dipercayai telah pun pulang ke Malaysia.

Sementara itu, Lee Kay Hock, 45, berkata, sepupunya Jackson turut menjadi mangsa selepas ditipu rakan kononnya untuk bekerja di Thailand.

“Beberapa hari lalu dia hubungi saya melalui WhatsApp dan beritahu yang sebenarnya dia berada di Kemboja.

“Dia mendakwa dipukul, dipaksa bekerja berjam-jam tanpa rehat, dan amat tertekan. Dia merayu supaya diselamatkan,” jelasnya memetik laporan Kosmo! Online.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Kemboja bagi mengesan kedua-dua mangsa.

“Kami akan laksanakan koordinasi dengan pihak berkaitan dan maklumat akan disalurkan kepada pasukan task force di Kemboja bagi membawa mereka pulang.

“Saya juga ingin menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja meragukan walaupun ia datang daripada kawan sendiri,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button