BERITA SEMASA

PRN Melaka: Nana mahu selesaikan isu jeti, kemudahan nelayan di Klebang

MELAKA – Isu kemudahan jeti nelayan, pencahayaan yang tidak mencukupi serta masalah saliran di kawasan pendaratan ikan antara perkara yang diberi perhatian calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani atau Nana.

Beliau berkata, masalah berkenaan perlu diberi perhatian khusus memandangkan sebahagian penduduk di kawasan itu bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan.

Menurutnya, kawasan Kampung Pinang dan Bukit Rambai antara lokasi yang mempunyai komuniti nelayan serta pesawah yang memerlukan perhatian dari segi kemudahan dan penyelenggaraan infrastruktur.

“Antara isu utama ialah penyelenggaraan jeti nelayan, pencahayaan yang tidak mencukupi serta saluran air yang kurang berfungsi dengan baik.

“Nelayan juga memerlukan kemudahan yang lebih terurus, termasuk rumah balai dan sistem saliran perparitan,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Farhana berkata, beliau akan terus membawa isu berkenaan kepada agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan bantuan serta penambahbaikan dapat disegerakan.

“Antara perkara yang sudah dibangkitkan ialah keperluan menaik taraf jeti nelayan Sungai Lereh di daerah mengundi Kampung Pinang yang baharu diluluskan, selain jeti di Muara Sungai Klebang yang turut memerlukan perhatian.

“Nelayan selalu bertanya sama ada Nana hanya akan datang ketika pilihan raya sahaja. Sebenarnya tidak, Nana sudah bersama mereka sejak sekian lama.

“Isu ini sudah diajukan kepada JPS dan LKIM dan Nana akan terus mendesak supaya bantuan kepada jeti serta komuniti nelayan dapat dipercepatkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Klebang turut berdepan beberapa masalah lain termasuk banjir di Seberang Gajah dan Bukit Rambai yang masih belum diselesaikan sejak hampir 20 tahun lalu, selain kesesakan trafik.

“Pembangunan infrastruktur di kawasan berpotensi pelancongan juga perlu dipertingkatkan bagi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus merancakkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Mengulas dakwaan beliau kurang berpengalaman kerana faktor usia muda, Nana berkata, usia bukan ukuran utama untuk menilai kemampuan seseorang calon.

“Selagi Nana mempunyai tekad, niat dan keikhlasan untuk mencari serta menyelesaikan masalah rakyat, saya percaya pengundi di Klebang boleh menilai kemampuan Nana berdasarkan usaha itu,” katanya.

Beliau turut memberi perhatian kepada golongan ibu tunggal yang berdepan kesukaran mengimbangi tanggungjawab menguruskan keluarga dan mencari pendapatan, selain berhasrat bekerjasama dengan agensi seperti TEKUN bagi membantu mereka memulakan atau mengembangkan perniagaan.

Nana turur berkata, akses kemudahan kesihatan untuk warga emas juga akan diberi perhatian menerusi usaha memudahkan hubungan mereka dengan agensi berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button