PRN Melaka : PH mahu hidupkan semula Dana Harta Bumiputera, perkasa usahawan mikro Melaka
AYER KEROH – Pakatan Harapan (PH) berhasrat mengembalikan inisiatif Dana Harta Bumiputera menerusi Melaka Amanah Finance House bagi memperkukuh pemilikan aset dan pembangunan ekonomi masyarakat Bumiputera di negeri ini.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, dana yang diwujudkan ketika PH mentadbir negeri sebelum ini berperanan membantu golongan Bumiputera mendapatkan pembiayaan pembelian rumah serta menyediakan sokongan kewangan kepada usahawan mikro.
Menurutnya, dana berkenaan yang diluluskan ketika pentadbiran PH mempunyai nilai lebih RM30 juta dan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri menggunakan hasil sendiri untuk membantu masyarakat.
“Dana itu digunakan khusus untuk Bumiputera. Pertama, membantu mereka membuat pembelian rumah dan kedua, memberikan bantuan perniagaan mikro kepada usahawan-usahawan Bumiputera.
“Saya fikir langkah ke hadapan, inisiatif ini harus ada kerana kita tahu bahawa memperkukuh ekonomi golongan Bumiputera adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama, di sini hari ini.
Adly berkata, usaha memperkukuh ekonomi Bumiputera tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan Persekutuan, sebaliknya kerajaan negeri juga perlu menyediakan mekanisme sokongan kewangan tersendiri.
Katanya, kerjasama dengan agensi Persekutuan seperti TEKUN Nasional tetap penting, namun inisiatif di peringkat negeri perlu diteruskan bagi memastikan lebih ramai usahawan Bumiputera mendapat akses kepada bantuan pembiayaan.
“Ramai usahawan Bumiputera yang harus dibantu. Di samping kerjasama dengan kerajaan Persekutuan seperti TEKUN dan seumpamanya, kerajaan negeri mesti ada inisiatif-inisiatif itu dan sebahagian dana harus diperuntukkan,” katanya.
Mengulas pelaksanaan dana berkenaan sebelum ini, beliau berkata, peruntukan melebihi RM30 juta itu diluluskan menggunakan hasil negeri tanpa melibatkan sumber kewangan daripada kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, perkara itu membuktikan pengurusan kewangan yang berhemah serta ketelusan dalam pentadbiran mampu menyediakan ruang untuk kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Lebih RM30 juta yang kita luluskan itu adalah daripada hasil negeri, tidak melibatkan hasil daripada Persekutuan.
“Ini menunjukkan penjimatan, ketelusan kerajaan dan perbelanjaan berhemah boleh memberikan sesuatu yang baik kepada rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














