POLITIK

Muhyiddin kesal CSA dilabel usaha seperti dajal

MELAKA – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan tindakan melabelkan kerjasama parti itu dengan kerajaan menerusi Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sebagai sesuatu yang buruk, sedangkan usaha berkenaan bertujuan membantu rakyat.

Beliau berkata, kerjasama itu membolehkan wakil rakyat Bersatu menerima peruntukan bagi melaksanakan projek pembangunan di kawasan masing-masing, justeru tidak sepatutnya dipertikaikan kerana bukan bertujuan memenuhi kepentingan peribadi.

“Jadi sebab itu bila kita dah runding, dah setuju kita tandatangan, ada pula orang panggil CSA ini macam kita dajal.

“Presiden PAS kata saya tandatangan ini kita dajal. Saya pun anak tok guru juga, saya tak pernah dengar perkara itu.

“Apa hukum kita tandatangan itu? Haram? Kalau dia (CSA) tak haram, dikatakan harus ataupun mungkin sunat kerana ia satu usaha untuk memperbaiki, memperjuangkan nasib orang, apa salahnya?” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pengundi di Lendu, di sini hari ini.

Baca juga : Tiada masalah CSA didedahkan, persoal kelewatan umum kandungan perjanjian – Takiyuddin

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Minda Presiden PAS bertajuk ‘Tempis Dajjal Sudah Tiba’ mendakwa CSA menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, sebaliknya memaksa pihak terbabit untuk terus berkuasa.

Abdul Hadi turut mendakwa, walaupun tidak berlagak menjadi tuhan seperti dajal besar, pihak berkenaan tetap melaksanakan sifat-sifat dajal.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau tidak memahami tindakan melabelkan kerjasama itu sedemikian rupa sedangkan matlamatnya adalah untuk membantu rakyat.

Katanya, peruntukan yang bakal disalurkan kepada wakil rakyat Bersatu bukan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya bagi melaksanakan projek tertentu mengikut peraturan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

“Bukan dapat duit masuk poket wakil rakyat, itu bantuan untuk melaksanakan projek-projek tertentu yang ikut peraturan daripada ICU.

“Dia tak boleh memandai-mandai saja, nak belanja buat itu buat ini tak boleh, ada peraturan-peraturan tertentu,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan penggunaan gelaran berkenaan terhadap usaha kerjasama yang disifatkannya bertujuan membawa kebaikan kepada rakyat.

“Saya nak cakap ini bukan apa, geram juga dalam hati saya, saya dipanggil dajal. Tak ada, kami orang Islam, tak ada melakukan kesalahan.

“Soal memeterai kerjasama untuk tujuan kebaikan itu adalah perkara yang memang digalakkan. Dan jangan berikan label-label yang pelik-pelik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button