BERITA SEMASA

Taburan hujan cecah 103mm punca banjir kilat Puncak Alam, Ijok

KUALA SELANGOR – Taburan hujan mencecah 103 milimeter (mm) di kawasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam petang semalam didakwa menjadi punca banjir kilat yang melanda sekitar Bandar Puncak Alam dan Ijok, di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), limpahan air dari kawasan kampus berkenaan turut mengalir ke beberapa kawasan perumahan termasuk Hillpark, Taman Seri Alam dan Saujana Utama.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang meneliti langkah penyelesaian bagi menangani risiko banjir sekiranya hujan lebat dengan taburan sama berulang.

“Semalam dianggarkan lebih 100 mm hujan turun dan saya sedang mencari penyelesaian supaya kalau berlaku lagi hujan sedemikian bagaimana kita akan tangani sebab yang di bawah (Hillpark) menerima limpahan air di kawasan ini (UiTM Puncak Alam).

“Di Puncak Alam berlaku dua kejadian banjir pada 4 (kelmarin) dan 5 November (semalam), kemudian ada air dari daerah Petaling mengalir melalui Sungai Subang yang memberi kesan kepada Kampung Melayu Subang dan Merbau Sempak yang akhirnya sampai ke Saujana Aman dan beberapa kawasan lain,” katanya memetik laporan Utusan Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi banjir kilat di UiTM Puncak Alam bersama beberapa agensi berkaitan dan pihak pengurusan universiti itu, hari ini.

Amirudin berkata, banjir turut berlaku di sekitar Ijok susulan limpahan air Sungai Buloh yang masih belum reda sehingga menyebabkan lebih 700 penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, kejadian di kawasan itu turut dikaitkan dengan perbuatan vandalisme yang merosakkan ban sungai di Batu 7, Ijok sehingga mencetuskan banjir di Parit Mahang, Bukit Kuching dan Bukit Hijau, Jeram.

Dalam perkembangan lain, beliau menafikan aktiviti pembersihan di Hutan Simpan Bukit Cherakah menjadi punca banjir di beberapa kawasan termasuk UiTM Puncak Alam, Sungai Buloh, Saujana Aman dan Ijok.

“Yang di Bukit Cherakah mungkin memberi kesan kepada Puncak Alam. Yang itu (di kawasan Bukit Cherakah) tiada kejadian banjir, Alhamdulillah. Yang di sini (UiTM Puncak Alam) titiknya di sini.

“Bagaimanapun, saya minta disemak balik segala kelulusan yang dibenarkan termasuk mensyaratkan mereka (pemaju) membuat (kolam) tadahan air sementara. Kita tak mahu mereka sambil lewa, kalau tak lengkap mungkin boleh menyebabkan runtuhan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button