BERITA SEMASA

PAC disaran terlibat secara langsung isu peruntukan lebihan kementerian

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) wajar dilibatkan secara langsung dalam urusan peruntukan lebihan kementerian bagi memastikan pengurusan dana awam sentiasa berlandaskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tatakelola kewangan yang ketat.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan menegaskan, Parlimen perlu mengawasi dengan ketat setiap penggunaan wang rakyat, khususnya apabila sesebuah kementerian berdepan keperluan peruntukan tambahan atau perbelanjaan yang melebihi jumlah asal yang diluluskan.

Jelas beliau, asas penglibatan itu termaktub dengan jelas dalam Peraturan Mesyuarat 77(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memberi mandat rasmi kepada PAC untuk memeriksa akaun-akaun Persekutuan serta penggunaan peruntukan yang diluluskan oleh Parlimen.

“Di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d), PAC turut diberi ruang meneliti apa-apa perkara lain yang difikirkan patut atau yang dirujuk kepadanya oleh Dewan Rakyat.

“Ketetapan ini diperkukuh lagi menerusi Peraturan Mesyuarat 77(5) yang memperuntukkan kuasa penuh kepada PAC untuk memanggil mana-mana individu, meminta pengemukaan dokumen atau rekod, serta membentangkan laporan dari semasa ke semasa kepada Dewan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menyentuh kerangka perundangan lebih luas, Adnan berkata, mekanisme berkaitan perbelanjaan tambahan atau lebihan perbelanjaan turut tertakluk kepada Perkara 101 Perlembagaan Persekutuan, termasuk kewajipan pembentangan anggaran perbelanjaan tambahan di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, pemerkasaan peranan PAC dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem semak dan imbang di peringkat Parlimen, sekali gus menjamin setiap sen wang pembayar cukai diuruskan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan kestabilan fiskal negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button