BERITA SEMASA

Petron, Caltex sedia bantuan ihsan kepada pengguna terjejas akibat kualiti RON95

KUALA LUMPUR – Petron dan Caltex mula melaksanakan program bantuan secara ihsan kepada pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan susulan aduan berkaitan kualiti petrol RON95, tertakluk kepada kriteria ditetapkan dan dokumen sokongan yang sah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kedua-dua syarikat minyak itu telah merangka program pemulihan pelanggan bagi menangani aduan kerosakan kenderaan yang disahkan sahih.

kpdn
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. – Foto KPDN

Menurutnya, pembayaran bantuan berkenaan dibuat atas dasar ihsan (goodwill basis) tanpa sebarang pengakuan salah atau liabiliti oleh syarikat terbabit.

“Pembayaran tersebut akan diberikan kepada pelanggan yang telah mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) di Dewan Rakyat.

Armizan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengadakan sesi libat urus dengan Petron dan Chevron, pengendali jenama Caltex pada 9 dan 21 Oktober lalu bagi mengenal pasti punca dakwaan pencemaran kualiti bahan api.

Selain siasatan KPDN dan analisis Jabatan Kimia Malaysia, kedua-dua syarikat minyak itu turut menghantar sampel petrol RON95 dari stesen yang terbabit dalam aduan ke makmal masing-masing, termasuk makmal di luar negara untuk pengujian.

Beliau berkata, KPDN memandang serius isu berkenaan walaupun aduan yang diterima setakat ini melibatkan stesen minyak tertentu.

KPDN menerima aduan bermula 3 Oktober lalu berhubung dakwaan petrol RON95 mengandungi air atau bahan asing yang menyebabkan kerosakan enjin kenderaan pengguna di beberapa negeri.

Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 262 sampel petrol RON95 telah diambil di lapan negeri, melibatkan lapan jenama stesen minyak dan tiga depoh syarikat minyak untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia.

Armizan berkata, siasatan terperinci akan diteruskan meliputi keseluruhan rantaian bekalan bahan api, manakala tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang berkuat kuasa sekiranya sebarang kesalahan dikenal pasti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button