AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Satumarin, Lekir Tech bangunkan MARIA, platform AI keselamatan maritim buatan Malaysia

KUALA LUMPUR – Syarikat tempatan, Satumarin Sdn Bhd dan Lekir Tech (M) Sdn Bhd bekerjasama membangunkan MARIA, platform digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mempertingkat kecekapan pemeriksaan kapal serta memperkukuh standard keselamatan industri maritim.

Pengarah Urusan Satumarin, Kapten Mohd Zailani Abdul Razak berkata, pembangunan MARIA yang mengambil masa kira-kira empat hingga lima bulan itu membuktikan kemampuan anak tempatan menghasilkan teknologi berpotensi mengubah landskap jaminan keselamatan maritim.

Beliau yang dikenali sebagai Kapten Zack dan mempunyai pengalaman selama tiga dekad dalam industri marin dan minyak serta gas (O&G) antarabangsa berkata, MARIA dibangunkan bagi mendigitalkan proses pemeriksaan, meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuh tadbir urus keselamatan.

kapten zack
Kapten Zack menunjukkan aplikasi MARIA yang dibangunkan dengan kerjasama Lekir Tech.

“Hari ini merupakan hari bersejarah untuk Satumarin dan Lekir Tech kerana kami memeterai kerjasama bagi membangunkan produk 100 peratus buatan Malaysia iaitu MARIA AI.

“Selepas tiga dekad dalam industri marin dan O&G antarabangsa, saya melihat MARIA sebagai produk yang berpotensi mengubah cara industri mengendalikan jaminan keselamatan maritim melalui proses yang lebih digital, cekap dan mempunyai tadbir urus lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua syarikat sempena Cradle LIVE! Summit 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, MARIA turut mendapat sambutan positif daripada syarikat minyak dan gas antarabangsa, selain kerjasama dengan rakan strategik dari Singapura, Asia Barat dan China bagi menambah baik keupayaan platform itu.

Beliau berkata, beberapa syarikat minyak antarabangsa dijangka mula menggunakan platform berkenaan pada November ini, manakala wakil industri tempatan dan antarabangsa turut hadir menyaksikan majlis pemeteraian MoU sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan teknologi itu.

booth
Pengurusan tertinggi Lekir Tech dan Satumarin bergambar bersama Lih Kang di booth syarikat berkenaan.

Mengulas kelebihan MARIA, Kapten Zack berkata, platform berkenaan membolehkan urusan pemeriksaan, jaminan kualiti (QA) dan kawalan kualiti (QC) dilaksanakan secara digital tanpa terlalu bergantung pada dokumen fizikal atau komunikasi e-mel yang berasingan.

Malah katanya, MARIA turut direka untuk digunakan tanpa sambungan internet, sekali gus membolehkan pemeriksaan diteruskan di atas kapal atau di kawasan laut terpencil yang mempunyai capaian rangkaian terhad.

“Kita mahu semua proses berkaitan pemeriksaan dan jaminan keselamatan dapat dilakukan melalui satu platform. Ia bukan sahaja untuk industri maritim, malah mempunyai potensi digunakan dalam pelbagai bidang minyak dan gas.

“Kalau di Hollywood mereka mempunyai JARVIS, pembantu AI dalam filem Iron Man, di Malaysia kita membangunkan MARIA yang mempunyai keupayaan tersendiri untuk membantu industri,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran utama pada peringkat awal pembangunan adalah untuk mendapatkan keyakinan syarikat tempatan terhadap keupayaan produk berkenaan.

Namun, sambutan daripada syarikat minyak dan gas tempatan serta antarabangsa dalam tempoh singkat memberi dorongan kepada pasukan pembangunan untuk terus memperkukuh teknologi itu.

Sementara itu, Pembangun Perisian Lekir Tech, Faris ‘Imadi Mohd Salleh berkata, pembangunan MARIA mencerminkan usaha syarikat itu memperluas penggunaan AI daripada bidang teknologi kewangan kepada sektor industri lain yang memerlukan penyelesaian digital khusus.

faris lekir tech
Faris ‘Imadi berkongsi Lekir Tech menyokong aspirasi Malaysia MADANI dalam membangunkan keupayaan AI sendiri.

Beliau berkata, Lekir Tech ditubuhkan selepas pandemik COVID-19 oleh pengasas bersama, Zach Azizul Othman dan Al Khan Abdul Ghani dengan matlamat membangunkan penyelesaian AI untuk pelbagai organisasi, daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hingga syarikat korporat serta agensi kerajaan.

Menurutnya, kerjasama dengan Satumarin membolehkan kepakaran pembangunan perisian dan AI digabungkan dengan pengalaman teknikal dalam pemeriksaan kapal bagi memenuhi keperluan industri yang sebelum ini belum mempunyai ekosistem digital bersepadu.

“Pada awalnya, tumpuan kami lebih kepada teknologi kewangan. Bagaimanapun, kami melihat AI mempunyai keupayaan untuk digunakan dalam pelbagai bidang lain.

“Melalui MARIA, kami membangunkan ekosistem pemeriksaan kapal yang membolehkan proses berkenaan dilaksanakan secara lebih sistematik dan digital, khususnya bagi memenuhi keperluan syarikat minyak dan gas yang menggunakan kapal untuk operasi seperti projek cari gali,” katanya.

Faris yang juga Pengurus Operasi dan Latihan Lekir Tech berkata, MARIA turut menjadi kajian kes bagi konsep AI berdaulat atau sovereign AI iaitu pendekatan yang memberi penekanan kepada kawalan terhadap data dan pembangunan teknologi dalam negara.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan data dikawal mengikut keperluan organisasi serta mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia membangunkan keupayaan AI sendiri.

“Kita mahu data kekal di bawah kawalan yang sewajarnya dan teknologi ini dibangunkan dengan keupayaan tempatan. Ini antara matlamat kami dalam menyokong agenda kedaulatan teknologi negara.

“Bagi MARIA, kami kini sedang berusaha ke arah pelancaran rasmi yang disasarkan pada November ini,” katanya.

booth lekir satu marin
Sebahagian syarikat O&G dari Malaysia dan luar negara yang hadir memberi sokongan di booth Lekir Tech dan Satumarin.

Mengulas peluang golongan muda dalam industri AI, beliau berkata, anak muda perlu berani mencuba teknologi berkenaan dan meningkatkan pemahaman tentang manfaat serta risiko penggunaannya.

Katanya, walaupun AI mampu memudahkan pelbagai urusan, pengguna perlu memahami batasan teknologi itu dan mengelakkan penyalahgunaannya.

Beliau turut berpandangan bahawa pendedahan dan pendidikan mengenai AI perlu diperkukuh supaya generasi muda mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk memanfaatkan teknologi berkenaan secara bertanggungjawab.

Terdahulu, majlis menandatangani MoU antara Satumarin dan Lekir Tech disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang sempena Cradle LIVE! Summit 2026.

Menerusi kerjasama itu, Lekir Tech menyumbangkan kepakaran dalam pembangunan perisian, pengkomputeran awan dan AI, manakala Satumarin menyediakan kepakaran dalam pemeriksaan kapal serta keselamatan maritim.

Kedua-dua syarikat turut merancang menawarkan MARIA kepada agensi kerajaan, pengendali sektor tenaga serta pemilik kapal menerusi model penggunaan fleksibel bagi mengurangkan keperluan pelaburan awal yang besar.

Cradle LIVE! Summit 2026 anjuran Cradle Fund Sdn Bhd di bawah MOSTI berlangsung dari 4 hingga 5 November ini di The Arch Galeries, Kuala Lumpur bertemakan Build in Malaysia, For ASEAN & Beyond.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button