
Pelaburan Edra RM6 bilion dijangka wujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan di Melaka
ALOR GAJAH – Kemasukan pelaburan bernilai tinggi ke Melaka dijangka membuka lebih 3,000 peluang pekerjaan menerusi cadangan pelaburan RM6 bilion oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) bagi membekalkan tenaga kepada pembangunan pusat data di negeri itu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri mahu memastikan setiap pelaburan baharu bukan sahaja merancakkan ekonomi, malah memberi manfaat secara langsung kepada penduduk tempatan.
“Pastinya ia akan menyediakan peluang pekerjaan dan membawa masuk pelaburan bernilai tinggi, selain memperkenalkan teknologi canggih ke Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kerja Jawatankuasa Turbin Gas CGNEI 2026 di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Ab Rauf, pembangunan pusat data yang memerlukan bekalan tenaga mencukupi dan stabil turut membuka potensi kepada Melaka untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi berteknologi tinggi, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Katanya, kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan supaya golongan muda tidak terpinggir daripada peluang yang diwujudkan hasil perkembangan industri berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berharap CGN Energy International, Edra dan rakan industri lain dapat memperluas penyediaan latihan khusus, penempatan industri serta peluang membina kerjaya kepada anak muda di negeri ini.
“Seiring usaha kita terus melabur dalam infrastruktur tenaga dan teknologi canggih, kita juga perlu melabur dalam pembangunan modal insan yang bakal mencorakkan masa depan industri ini.
“Justeru, saya amat berharap CGN Energy International, Edra dan semua rakan industri akan terus menyediakan lebih banyak peluang kepada tenaga kerja tempatan berkemahiran, khususnya golongan muda di Melaka, menerusi latihan khusus, penempatan industri serta laluan kerjaya yang bermakna,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














