Ahli Parlimen cadang wajibkan rakyat Malaysia kibar Jalur Gemilang
KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen mencadangkan supaya rakyat Malaysia diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta dan kesetiaan kepada negara.
Cadangan itu diutarakan Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang berkata, langkah demikian penting bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta meningkatkan rasa tanggungjawab rakyat terhadap Malaysia.
“Cadangan saya, tahun depan kita wajibkan seluruh rakyat dan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kasih dan cinta kita terhadap negara yang kita cintai ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mencadangkan supaya lima prinsip Rukun Negara dipamerkan di setiap rumah, pejabat dan premis perniagaan supaya sentiasa diingati serta dihayati masyarakat.
“Rukun Negara bukan sekadar slogan, sebaliknya asas penting dalam membentuk masyarakat bersatu padu dan mempunyai jati diri kebangsaan.
“Lima prinsip ini perlu dibahaskan dan diberikan taklimat kepada masyarakat supaya rakyat benar-benar memahami maksud serta kepentingannya,” katanya lagi.
Ketika mengulas prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Sany berkata penghayatannya juga penting dalam membendung rasuah dan salah guna kuasa.
Katanya, pegangan agama dan kepercayaan kepada tuhan sepatutnya menjadi benteng moral daripada perbuatan seperti mencuri, menyeleweng dan menyalahgunakan wang rakyat.
“Kita lihat apabila seseorang itu tidak percaya kepada kewujudan tuhan, dia boleh mentekedarah, mencuri, merompak, menyakau, menyeleweng dan menyapu duit rakyat.
“Kalau dia benar-benar percaya kepada Allah dan kewujudan tuhan, dia tidak akan berani mencuri atau menyakau duit rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














