
Anak muda mahu calon muda diberi peluang, bukan terus dilabel tidak matang
AMPANG – Golongan muda berharap parti politik memberi lebih ruang kepada calon daripada generasi muda untuk diketengahkan sebagai pemimpin, sekali gus menjadi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan.
Harapan itu disuarakan dua anak muda yang ingin dikenali sebagai, Luqman, 24, dan Fifi, 24, yang berpandangan usia bukan penghalang untuk seseorang memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat, sebaliknya kemampuan membawa suara masyarakat perlu menjadi keutamaan.
Menurut Luqman, landskap politik negara masih didominasi pemimpin berusia, justeru sudah tiba masanya parti politik daripada pelbagai blok memberi peluang kepada golongan muda berusia 20-an dan 30-an untuk diketengahkan sebagai calon.
Beliau berkata, tanggapan bahawa generasi Z belum cukup matang untuk menjadi pemimpin tidak seharusnya dijadikan alasan menolak kemampuan mereka.
“Kita tak boleh pukul rata bahawa semua Gen Z atau remaja berusia 20 tahun ke atas tidak matang dan baru nak kenal dunia.
“Tidak adil untuk mengatakan generasi Z tidak layak menjadi pemimpin kerana alasan yang diberikan itu juga boleh dikaitkan dengan golongan bukan Gen Z,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Lepak Santai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Lembah Jaya (N20), Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Dalam pada itu, Luqman turut berharap kerajaan terus memberi perhatian terhadap isu kos sara hidup dan peluang ekonomi, khususnya melibatkan golongan muda yang baru memulakan kehidupan.
Katanya, pelaksanaan gaji minimum RM2,000 memberi kesan kepada anak muda yang sedang merancang untuk berkahwin, memiliki kediaman dan membina kehidupan sendiri.
“Bayangkan kalau gaji minimum kita masih pada tahap lama, bagaimana anak muda yang bekerja di bandar, khususnya Kuala Lumpur, mahu mencapai impian membeli rumah dan membina keluarga?
“Jika keadaan ekonomi terus stabil dalam tempoh lima tahun akan datang, kita berharap gaji minimum dapat ditingkatkan lagi dan memberi lebih banyak harapan kepada anak muda,” katanya.
Sementara itu, Fifi, 24, berkata golongan muda mengharapkan pemimpin yang dipilih mampu membawa perubahan lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu, terutama dalam menangani kos sara hidup dan beban ekonomi rakyat.
Menurutnya, keutamaan bukan sekadar meletakkan calon muda dalam pilihan raya, tetapi memastikan setiap wakil rakyat yang diberi mandat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
“Kita nak sesuatu yang lebih baik daripada sebelum ini. Tidak kira siapa pun calon, tentunya anak muda mengharapkan hasil yang lebih baik apabila memilih seseorang wakil rakyat.
“Kita cuma harapkan mereka menggalas tanggungjawab dengan baik supaya masalah anak muda, rakyat dan kawasan dapat diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun penyelesaian terhadap masalah rakyat bukan sesuatu yang mudah, usaha penambahbaikan perlu dilakukan bagi mengurangkan beban kehidupan, khususnya dalam kalangan pelajar yang terpaksa bekerja sambil belajar.
Mengulas tanggapan bahawa generasi Z belum bersedia memimpin, Fifi berpandangan keberanian menyuarakan kepentingan rakyat lebih penting daripada faktor usia.
“Selagi seseorang itu berani bersuara untuk membawa suara rakyat, siapa pun dia, kita akan sokong. Umur bukan penghalang.
“Kenapa tidak beri peluang kepada anak muda untuk memimpin dan menjadi calon? Biarkan mereka mencuba kerana kita sendiri belum tahu hasil atau perubahan yang mampu dibawa oleh calon muda,” katanya.
Beliau berharap calon-calon muda yang diketengahkan parti politik pada pilihan raya kali ini dapat memberikan pendekatan serta penyelesaian baharu terhadap isu yang dekat dengan kehidupan generasi muda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














