
190 doktor pakar hilang kemudahan cashless, Ismail Sabri desak BNM perjelas kriteria insurans
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kebimbangan dengan tindakan syarikat insurans yang mengeluarkan kira-kira 190 doktor pakar di seluruh negara daripada panel cashless hingga menimbulkan kebimbangan terhadap akses pesakit kepada rawatan perubatan.
Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan syarikat insurans mengeluarkan doktor pakar daripada panel cashless turut memberi kesan kepada pesakit, doktor dan hospital swasta.
Menurutnya, terdapat kes pesakit yang sedang menjalani pembedahan terpaksa menghentikan prosedur berikutan doktor yang bertugas tidak mempunyai kemudahan cashless, sehingga doktor dari hospital lain terpaksa dipanggil.
“Bank Negara Malaysia (BNM) diminta menjelaskan kriteria sebenar yang digunakan syarikat insurans untuk mengeluarkan seseorang doktor pakar daripada panel berkenaan.
“Ia perlu dipastikan sama ada tindakan itu dibuat berdasarkan prestasi klinikal, isu etika dan profesional, kelemahan dokumentasi atau semata-mata pertimbangan komersial,” katanya.
Beliau membangkitkan isu itu ketika perbahasan Belanjawan 2027 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Kewangan bagi Bekalan Perbendaharaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu Ismail Sabri turut mempersoalkan sama ada doktor diberikan alasan bertulis, bukti serta hak untuk membuat rayuan sebelum dikeluarkan daripada panel cashless.
Beliau berkata, BNM perlu menjelaskan sama ada terdapat garis panduan khusus yang mewajibkan syarikat insurans mematuhi proses berkenaan bagi memastikan penilaian dibuat secara telus dan adil.
Dalam masa sama, beliau membangkitkan hak pesakit yang membayar premium insurans setiap bulan tetapi berdepan kemungkinan pilihan doktor mereka ditentukan berdasarkan senarai panel syarikat insurans.
Beliau turut meminta penjelasan mengenai pematuhan syarikat insurans terhadap prinsip Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang menekankan hak pesakit untuk memilih doktor.
Selain itu, Ismail Sabri mendakwa syarikat insurans seperti AIA dan Prudential melaksanakan audit retrospektif terhadap tuntutan yang sebelum ini sudah diluluskan.
Katanya, audit berkenaan perlu dikawal selia bagi mengelakkan penyalahgunaan, khususnya berkaitan akses kepada rekod perubatan pesakit yang bersifat sulit dan sensitif.
Beliau turut mendakwa terdapat hospital yang diminta membayar semula tuntutan serta memberikan diskaun bagi mengelakkan tindakan dikeluarkan daripada panel, manakala doktor pakar pula kehilangan kemudahan cashless.
Mengulas perkembangan teknologi perubatan, beliau berkata sistem kod perubatan, borang, proses kelulusan awal (pre-GL) dan kadar bayaran insurans perlu diselaraskan dengan kemajuan teknologi termasuk pembedahan robotik.
Katanya, doktor tidak seharusnya dipersalahkan semata-mata disebabkan kekeliruan pengisian borang sekiranya sistem sedia ada tidak menyediakan pilihan yang tepat.
Bagi menangani isu itu, Ismail Sabri mencadangkan dua langkah utama, iaitu BNM bersama Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan protokol dan kerangka yang jelas berhubung sekatan panel, surat jaminan serta rawatan berterusan.
Beliau turut mencadangkan badan profesional dan industri insurans menyemak kod diagnosis serta prosedur perubatan secara berkala supaya selari dengan perkembangan teknologi perubatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













