Kerajaan Persekutuan lulus RM250 juta siapkan KB Sentral
KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM250 juta kepada Kerajaan Negeri Kelantan bagi membiayai pembinaan dan menyiapkan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu diluluskan bagi memastikan rakyat Kelantan menikmati kemudahan pengangkutan awam lebih selesa, moden dan teratur.
Menurutnya, komitmen pembiayaan berkenaan disahkan menerusi penyerahan surat kelulusan peruntukan secara simbolik kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berskala besar dapat diselesaikan mengikut jadual,” memetik Sinar online.
Penyerahan itu berlangsung sempena Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat di pekarangan Masjid Jamek Muhammadi di sini pada Sabtu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membangunkan negeri serta memenuhi keperluan rakyat.
Selain KB Sentral, beliau turut mengumumkan beberapa inisiatif kebajikan untuk rakyat Kelantan termasuk peruntukan bagi menaik taraf pusat rawatan dialisis di masjid terpilih.
“Kerajaan Persekutuan juga menyediakan bantuan penyelenggaraan kepada institusi pendidikan Islam dan tahfiz bagi memastikan kemudahan pendidikan berkenaan terus dapat dimanfaatkan masyarakat,” katanya.
Projek KB Sentral merupakan antara prasarana pengangkutan awam yang dinantikan penduduk setempat bagi menggantikan kemudahan stesen bas sedia ada di Lembah Sireh yang berdepan masalah kesesakan, khususnya ketika musim cuti persekolahan dan perayaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








