Pekerja diperdaya ‘scammer’ menyamar majikan, syarikat rugi RM486,000
JOHOR BAHRU – Taktik penjenayah siber menyamar sebagai majikan mengakibatkan sebuah syarikat mengalami kerugian RM486,000 selepas seorang pekerjanya terpedaya dengan arahan pemindahan wang ke akaun pihak ketiga.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pekerja wanita berusia 35 tahun semalam.
Menurutnya, mangsa menerima pesanan ringkas daripada nombor telefon suspek yang menyamar sebagai majikannya kira-kira jam 10 pagi.
“Mangsa kemudian diarahkan memindahkan wang syarikat berjumlah RM486,000 ke akaun suspek kononnya bagi tujuan pembayaran kontrak baharu.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat transaksi tambahan dengan jumlah yang sama atas alasan berbeza.
“Mangsa kemudiannya menghubungi majikannya menerusi panggilan WhatsApp, namun tidak menerima sebarang maklum balas sebelum mendapati nombor telefon majikannya sudah digodam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azrol Anuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang arahan pemindahan wang yang diterima menerusi panggilan telefon atau aplikasi komunikasi, meskipun daripada individu dikenali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








