BERITA SEMASA

PKR pertaruh Ketua AMK Melaka di Ayer Molek, sasar pecah hegemoni politik lama

AYER MOLEK – Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hakimin Mokhtar, sebagai calon nombor dua bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. 

Pencalonan itu disahkan selepas proses penamaan calon di Dewan Kompleks JAPERUN Ayer Molek yang bermula jam 9 pagi sebelum pengumuman rasmi dibuat pada jam 10.30 pagi tadi.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Adam Adli berkata, pencalonan Hakimin bukan sekadar mengisi kerusi pertandingan, sebaliknya menjadi tawaran untuk memecahkan dominasi politik lama serta membawa gelombang pembaharuan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, amanah yang diberikan kepada Hakimin merupakan tanggungjawab besar untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, meskipun Ayer Molek dianggap sebagai kubu tradisi parti lawan.

“Ayer Molek mungkin dianggap kubu tradisi pihak lawan, namun kita tidak akan berundur dan setiap undi akan kita usahakan dari pintu ke pintu sampai kemenangan menjadi milik rakyat,” katanya.

Prn
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka, Hakimin Mokhtar (tengah) diiringi Adam Adli dan barisan penyokongnya ketika proses penamaan calon hari ini.

Beliau berkata, PKR akan menggerakkan kempen selama 14 hari secara matang dan profesional dengan memberi tumpuan kepada tawaran penyelesaian konkrit, keutamaan ekonomi anak muda serta pemerkasaan kebajikan keluarga.

Katanya, pendekatan kempen parti itu akan berteraskan prestasi dan usaha kerja tanpa mencerca pihak lawan atau memainkan sentimen kebencian.

“Kita akan berkempen secara profesional dengan menunjukkan cara kita bekerja dan bergerak tanpa mencerca pihak lawan.

“Walaupun berdepan laluan mencabar di kubu kuat lawan, saya yakin dengan kerja keras dan sokongan padu rakyat, kita mampu mencipta kejutan dan melakukan yang terbaik untuk Ayer Molek,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button