BERITA SEMASAPOLITIK

BN, PH bertembung dua penjuru rebut DUN Duyong

KOTA MELAKA – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Pertembungan itu menyaksikan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem daripada BN, dicabar calon PH, Poo Long Suan, yang akan berusaha merampas kembali kerusi tersebut.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Duyong, Mohd Azri Mohideen Abdul Kadir mengesahkan kedua-dua calon layak bertanding selepas selesai proses semakan kertas penamaan calon di Kompleks Japerun Duyong, pagi ini.

“Seramai dua calon telah mengemukakan kertas penamaan masing-masing bagi bertanding di kerusi N21 Duyong.

“Setelah selesai menyemak kertas-kertas penamaan, saya berpuas hati dan memutuskan tiada kertas penamaan yang ditolak,” katanya ketika mengumumkan senarai calon yang disahkan bertanding kira-kira jam 11 pagi.

Mohd Noor Helmy menyerahkan kertas penamaannya pada jam 9.03 pagi, diikuti Poo Long Suan tiga minit kemudian, iaitu pada jam 9.06 pagi.

Berdasarkan susunan nama calon pada kertas undi, Poo Long Suan diberikan nombor satu, manakala Mohd Noor Helmy berada di kedudukan kedua.

Persaingan kali ini turut mengimbau keputusan PRN Melaka 2021 apabila Mohd Noor Helmy berjaya mempertahankan DUN Duyong dengan majoriti hanya 200 undi.

Beliau memperoleh 4,684 undi, mengatasi calon DAP ketika itu, Damian Yeo Shen Li yang meraih 4,484 undi.

Keputusan tipis berkenaan memperlihatkan Duyong sebagai antara kawasan yang menyaksikan persaingan sengit antara BN dan PH, sekali gus menjadikan perebutan kerusi itu pada PRN kali ini menarik untuk diperhatikan.

Poo Long Suan yang juga Ahli Jawatankuasa Aduan DAP Melaka kini menggalas tanggungjawab mewakili PH dalam usaha mencabar penguasaan BN di kawasan berkenaan.

Sementara itu, pengundian awal PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 10 November ini, manakala pengundian biasa ditetapkan pada 14 November.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button