POLITIK

Pilihan raya bukan pembaziran, proses demokrasi perlu diteruskan – Azman Abidin

MELAKA – Pilihan raya sememangnya melibatkan perbelanjaan besar, namun proses demokrasi itu perlu diteruskan bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan baharu setiap lima tahun, kata calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin.

Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, pilihan raya perlu dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan bagi memberi peluang kepada rakyat menentukan kepimpinan kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

“Ya, sebenarnya kalau nak ikutkan, pilihan raya ini memang membazir duit tetapi ini proses demokrasi.

“Kita terpaksa menjalankan proses demokrasi ini. Pilihan raya perlu diadakan selepas lima tahun kerana kita nak memilih kerajaan baharu, sama ada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selesai proses penamaan calon DUN Paya Rumput bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, di Stadium Hang Jebat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor yang mendakwa pihak lawan hanya membuang masa dan wang menyertai PRN Melaka bagi menentang Perikatan Nasional (PN) dan BN.

Calon PH DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin (kanan) bersama dua calon lain yang Rafie Ahmad yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti BERSAMA selepas proses penamaan calon di Stadium Hang Jebat. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

DUN Paya Rumput menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PH, PN dan Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

PH mempertaruhkan Azman Abidin sementara PN meletakkan tokoh korporat, Rafie Ahmad, manakala Abdul Rashid Abu Bakar mewakili BERSAMA.

Baca juga : PRN Melaka: Azman Abidin mahu guna pengalaman bersama PM bantu penduduk Paya Rumput

Mengulas mengenai persaingan dengan calon lain di DUN Paya Rumput, Azman berkata, setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri dan beliau tidak memandang rendah kemampuan mana-mana pihak.

Katanya, beliau akan berusaha mendekati seramai mungkin penduduk di kawasan itu bagi memperkenalkan dirinya serta menjelaskan tawaran yang boleh diberikan kepada mereka.

“Bagi saya, sama ada siapa pun calon yang bertanding, saya melihat mereka mempunyai kekuatan yang berlainan dan saya kena berusaha untuk mendekati sebanyak mungkin orang Paya Rumput untuk mengenali saya dan apa yang boleh saya tawarkan untuk mereka.

“Saya tak boleh memandang rendah kekuatan masing-masing dan saya akan berusaha memberikan pilihan terbaik untuk orang Paya Rumput,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button