MATRADE galak syarikat Malaysia teroka peluang teknologi bernilai tinggi di China
BEIJING – Syarikat Malaysia digalakkan meneroka peluang kerjasama dalam sektor teknologi bernilai tinggi di China, khususnya kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan teknologi hijau.
Menteri Kaunselor (Perdagangan) Kedutaan Besar Malaysia di Beijing merangkap Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE, Niqman Rafaee M Sahar berkata, perkembangan itu selari dengan keutamaan pembangunan China menerusi Rancangan Lima Tahun Ke-15 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurutnya, peluang kerjasama yang boleh diteroka termasuk penyumberan strategik, perkongsian kepakaran serta pemindahan teknologi bagi meningkatkan keupayaan industri tempatan.
Beliau berkata, perancangan pembangunan China itu turut membuka ruang kepada syarikat Malaysia untuk bekerjasama dalam pembangunan teknologi, inovasi industri dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
Katanya, keutamaan berkenaan juga merangkumi penggunaan teknologi dalam sektor perindustrian, peningkatan produktiviti melalui pendigitalan serta peralihan ke arah pembangunan hijau.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group Sdn Bhd, Ts Amir Junaidi Amerrudin, di pejabat MATRADE di Beijing, hari ini.
Niqman berkata, MATRADE komited membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran China menerusi promosi eksport, pemadanan perniagaan, pembinaan rangkaian perdagangan serta khidmat nasihat berkaitan keperluan dan pematuhan eksport.

Inisiatif itu membolehkan syarikat tempatan mengenal pasti rakan niaga berpotensi, memahami kehendak pasaran serta memperluas akses kepada pembeli dan rangkaian pengedaran di negara berkenaan.
Beliau turut menggalakkan syarikat Malaysia meneroka peluang di bandar peringkat kedua, ketiga dan keempat di China, selain pasaran utama seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen.
Menurutnya, pendekatan itu berpotensi mempelbagaikan destinasi eksport serta membuka ruang perniagaan dalam sektor industri dan teknologi yang sedang berkembang.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan VFive Group, Datuk Syafiq Abdullah berkata, pihaknya sedang meneroka kerjasama dengan pemain teknologi China dalam bidang perubatan digital, sistem AI, jentera pertanian pintar dan teknologi pembinaan moden.
Katanya, penerokaan itu memberi tumpuan kepada penyelesaian teknologi praktikal yang bersesuaian dengan keperluan industri Malaysia, termasuk dari segi kos pelaksanaan dan kesesuaian operasi tempatan.
Beliau berkata, penggunaan jentera pintar dan teknologi berasaskan AI dalam sektor pertanian berpotensi meningkatkan kecekapan operasi melalui automasi, pemantauan tanaman berasaskan data serta penggunaan input pertanian secara lebih tepat.
VFive Group juga sedang mengenal pasti peluang perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan penyesuaian penyelesaian teknologi bagi menyokong pembangunan industri negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








