BERITA SEMASA

Industri kreatif sumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara

KUALA LUMPUR – Industri budaya dan kreatif menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 2024, selain menyokong pekerjaan kepada 763,100 orang.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sektor itu turut merekodkan eksport produk kreatif bernilai RM63 bilion, sekali gus menunjukkan sumbangannya bukan hanya terhad kepada bidang hiburan.

“Ekonomi kreatif bukan sektor sampingan yang boleh dipandang ringan,” katanya dalam teks jawapan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, di sebalik penerbitan filem, persembahan muzik, produksi kandungan dan acara berskala besar, terdapat rangkaian tenaga kerja, perusahaan serta perkhidmatan yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Di sebalik setiap penerbitan filem, persembahan muzik, produksi kandungan atau acara berskala besar, terdapat rantaian tenaga kerja, perusahaan dan perkhidmatan yang menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ekonomi kreatif merangkumi pelbagai bidang termasuk filem, muzik, seni persembahan, animasi, permainan digital, penerbitan sastera, fesyen dan kulinari.

“Sebagai pemacu pekerjaan, pendapatan dan pelaburan, sektor ini perlu terus diperkukuh melalui pembangunan bakat, penghasilan dan pengkomersialan karya tempatan serta peluasan akses ke pasaran antarabangsa,” tambahnya.

Dalam industri perfileman, sebanyak 17 filem tempatan yang ditayangkan menerusi skim Wajib Tayang merekodkan kutipan keseluruhan RM129.86 juta setakat 8 Oktober 2026.

Pada masa sama, sebanyak 175 produksi antarabangsa memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran dari Januari hingga Julai 2026 menerusi inisiatif Malaysia: A Filming Destination & Production Hub.

“Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (Film in Malaysia Incentive atau FIMI) turut menarik anggaran pelaburan asing berjumlah RM2.75 bilion sepanjang tempoh 2013 hingga 2025.

“Inisiatif ini berjaya menarik anggaran RM2.75 bilion pelaburan asing bagi tempoh 2013 hingga 2025 serta mewujudkan kira-kira 31,050 peluang pekerjaan,” ujarnya.

Beliau menegaskan pembangunan industri kreatif perlu dilaksanakan secara seimbang dengan pemeliharaan nilai budaya dan pembentukan sahsiah masyarakat.

“Usaha Kerajaan merancakkan industri kreatif bukanlah suatu bentuk galakan terhadap budaya hedonisme, mahupun mengetepikan nilai dan jati diri masyarakat,” katanya.

Sebaliknya, pembangunan sektor berkenaan perlu disokong melalui kawal selia yang berkesan dan penghasilan kandungan berkualiti, di samping memperluas peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing karya tempatan di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button