BERITA SEMASA

Penamaan calon PRN Melaka ditetapkan bermula pukul 9 hingga 10 pagi Sabtu ini – SPR

MELAKA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum NegeriMelaka ke-16 pada Sabtu ini bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kertas penamaan calon perlu diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 28 pusat penamaan calon yang ditetapkan.

Katanya, SPR turut menasihatkan bakal calon supaya mengisi borang penamaan dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hari penamaan calon.

“Bakal calon juga disaran membuat pembayaran deposit lebih awal dan membawa resit pembayaran berkenaan pada hari penamaan calon sebagai bukti.

“Bagi calon yang mewakili parti politik, surat kebenaran menggunakan simbol parti masing-masing perlu dikemukakan ketika menyerahkan kertas penamaan calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, SPR mengingatkan calon yang membayar deposit bahan kempen pilihan raya supaya mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] serta undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara larangan yang perlu dipatuhi katanya, termasuk penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan berkempen melalui kenderaan serta perbuatan menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang ditetapkan di pusat penamaan calon.

Pada masa sama katanya, SPR turut menyeru semua bakal calon dan parti politik supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button