PM ucap takziah kepada sepanyol susulan nahas perlanggaran kereta api
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Sepanyol susulan tragedi perlanggaran kereta api yang mengorbankan nyawa.
Beliau berkata, Malaysia turut bersimpati dengan keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sepanyol dalam menghadapi saat sukar ini.
“Kami juga memberikan penghormatan kepada petugas kecemasan dan semua pihak yang bertungkus-lumus di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata, ucapan takziah itu disampaikan bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia kepada Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, kerajaan serta rakyat negara itu, khususnya keluarga mangsa yang terkorban.
Beliau turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan nyawa dalam tragedi berkenaan.
Terdahulu, angka kematian akibat nahas pertembungan dua kereta api laju di Toledo, Sepanyol meningkat kepada 60 orang manakala lebih 100 lagi dilaporkan cedera.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.53 pagi waktu tempatan apabila sebuah kereta api AVE kendalian syarikat milik kerajaan, Renfe, merempuh bahagian belakang kereta api Iryo yang berhenti di landasan.
Pertembungan itu menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dari landasan, termasuk dua gerabak yang terjunam ke cerun. Pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam gelinciran gerabak.
Kedua-dua kereta api itu membawa 544 penumpang. Kereta api Renfe membawa 397 penumpang, manakala Iryo membawa 147 penumpang ketika kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







